MIC adakan perbincangan tidak rasmi dengan PN

MIC adakan perbincangan tidak rasmi dengan PN

Presiden SA Vigneswaran kata pimpinan MIC meneliti dengan serius usul daripada akar umbi.

MIC
Presiden MIC SA Vigneswaran tepis sebarang anggapan hubungan sulit selepas akui perbincangan tidak rasmi dengan PN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
MIC akui ada melakukan perbincangan tidak rasmi dengan Perikatan Nasional (PN), yang menyentuh hala tuju parti itu.

Presiden SA Vigneswaran bagaimanapun menepis sebarang anggapan hubungan sulit, dan berkata pimpinan MIC meneliti dengan serius usul daripada akar umbi.

“Ya, kita akui ada melakukan perbincangan tidak rasmi dengan PN mengenai hala tuju MIC. MIC tak ada sembunyi apa-apa (perbincangan dengan PN), ini bukannya hubungan sulit,” katanya lapor Harian Metro.

Vigneswaran berkata MIC masih meneliti hala tujunya dengan terperinci, dan menambah keputusan yang akan diambil nanti untuk kebaikan parti di masa depan dan masyarakat India.

“Dinamika politik negara sudah berubah, jika MIC tak terima hakikat itu, kami akan hilang,” katanya.

MIC Kedah dilaporkan meluluskan usul bekerjasama dengan PN pada PRU16, dalam mesyuarat agung tahunan peringkat negeri 8 Ogos lalu.

Keesokannya, MIC Pulau Pinang dilapor meluluskan usul keluar Barisan Nasional (BN) dalam mesyuarat agung tahunannya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, berkata partinya tidak menerima sebarang lantikan menteri atau timbalan menteri walaupun mempunyai kerusi di Parlimen, dan mendakwa seolah-olah dipinggirkan.

Bulan lalu, Saravanan dilaporkan berkata parti itu akan membuat keputusan mengenai masa depannya bersama BN selepas mesyuarat agung tahunan pada Oktober.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.