
Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, pengembara wajib menjalani ujian saringan RT-PCR tiga hari sebelum memasuki Labuan termasuk melakukan kuarantin wajib selama 10 hingga 14 hari
“Kuarantin 10 hari di rumah bagi penduduk asal Labuan, kuarantin 10 hari di rumah atau hotel bagi penjawat awam serta kuarantin 14 hari di hotel bagi pelawat asing dari luar negara,” katanya ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP mengekang penularan Covid-19
Ismail berkata, bagi pengguna kad harian transporters pula mereka diwajibkan mengambil ujian PCR setiap dua minggu dan wajib menjalani ujian RTK antigen setiap minggu.
Sementara itu katanya, aktiviti sign on atau off perkapalan juga ditangguhkan.
“Sign off dibenarkan dengan 14 hari kuarantin dan wajib menjalani satu ujian RT PCR
“Kapal Kumpit ditangguhkan buat sementara waktu,” katanya.
PKPD di beberapa mukim dan kawasan di Perak, Johor dan Sarawak
Ismail turut memaklumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim dan kawasan di Perak, Johor dan Sarawak bermula 27 Mei sehingga 9 Jun susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Ia melibatkan Mukim Bagan Serai, Kerian, Perak dengan 53 dikesan positif dan Mukim Labis, Segamat, Johor dengan 67 dikesan positif.
Sementara itu, PKPD di Daro Sarawak pula melibatkan tiga lokaliti itu Rumah Panjang Isa Anak Blone, Rumah Panjang Ben Anak Kuleng dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gelam di mana 12 dikesan positif setakat ini.
Dalam pada itu, pelaksanaan PKPD di Ulu Lepar, Mukim Gali, Raub, Pahang, Rumah Panjang Dinggai, Sungai Amut Atas, Pakan, Sarikei, kawasan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh, Kapit, Sarawak dan Maktab Rendah Sains Mara Pengkalan Hulu, Hulu Perak, Perak ditamat bermula esok.
Penamatan sama turut mebabitkan lima penempatan dan tiga perkampungan di Raub, Pahang iaitu Taman Sungai Klau,Taman Maju Sungai Klau,Taman Kelau Jaya,Taman Harmoni dan Kampung Sungai Klau, Kampung Baru Tras, Kampung Sungai Cheetang dan Kampung Sang Lee.
Sementara itu pihak polis semalam menahan 694 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 685 individu dikompaun manakala sembilan lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (179), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (166), tidak memakai pelitup muka (129), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (63), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (58) dan lain-lain kesalahan (99),” katanya.