799 terlepas tarikh janji temu punca PPV Ipoh sesak

799 terlepas tarikh janji temu punca PPV Ipoh sesak

Jumlah sebenar janji temu yang diberi melalui aplikasi MySejahtera bagi tarikh 21 Mei adalah 1,570 orang, namun 799 hadir tanpa janji temu bersama pengiring masing-masing.

Kesesakan yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di Ipoh Jumaat lepas disebabkan kehadiran 799 individu yang gagal hadir pada tarikh janji temu ditetapkan oleh aplikasi MySejahtera. (Gambar Facebook)
IPOH:
Kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini Jumaat lepas disebabkan kehadiran 799 individu yang gagal hadir pada tarikh janji temu ditetapkan oleh aplikasi MySejahtera.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ding Lay Ming berkata, kehadiran beramai-ramai individu terbabit adalah untuk cuba mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu baharu susulan semalam adalah hari pertama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bagi daerah Kinta yang turut melibatkan Ipoh.

“Jumlah sebenar janji temu yang diberikan melalui MySejahtera bagi tarikh 21 Mei adalah 1,570 orang, namun 799 hadir tanpa janji temu bersama pengiring masing-masing sehingga menyebabkan kesesakan sementara pihak pengurusan PPV menyelesaikan pemberian tarikh janji temu baharu.

“Pemberian vaksin di PPV ini bermula 24 Feb lepas dengan purata 1,500 orang sehari dan berjalan lancar serta terkawal.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak Dr Ding Lay Ming.

“Pihak kami dukacita dengan kejadian kesesakan orang ramai yang berlaku,” katanya dalam kenyataan selepas tular di media sosial bahawa PPV tersebut dibanjiri ratusan individu yang hadir tanpa janji temu.

Sehubungan itu, Ding mengingatkan orang ramai supaya hadir mengikut janji temu ditetapkan dan jika gagal, penjadualan semula perlu dilakukan dengan menghubungi Helpdesk MySejahtera.

“Pihak Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) daerah dan negeri akan terus mengenal pasti langkah bagi menambah baik keadaan di PPV supaya kejadian sama tidak berulang.

“Selain itu kerjasama orang ramai diperlukan bagi mengelakkan kesesakan di kawasan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu Ding berkata, 298 orang bakal jemaah haji dikenal pasti untuk menerima vaksin dan mereka sudah diberikan tarikh janji temu dua minggu lebih awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.