
Lam Chang Nam, yang sebelum ini didakwa terbabit dalam penculikan Koh, dituduh memeras ugut keluarga mangsa dengan meminta RM30,000 kononnya untuk membebaskannya.
Majistret Petaling Jaya, Nurshahira Abdul Salim memerintahkan Lam membela diri, selepas memutuskan pihak pendakwaan sudah membuktikan pertuduhan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan berkaitan pemerasan.
Peguam Lam, Aaron Mark Pius berkata, perbicaraan disambung 9 dan 10 Dis ini.
“Kami akan membuat pembelaan terbaik untuk melawan pertuduhan ini,” katanya sambil menambah mereka belum memutuskan sama ada akan memanggil saksi lain.
Pada 25 Feb lalu, Lam dibebaskan daripada tuduhan menculik Koh empat tahun lalu, selepas pihak pendakwaan menarik balik kes terhadapnya.
Koh dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Feb 2017.
Inkuiri oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 3 April 2019 menyimpulkan Koh dan pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope, Amri Che Mat yang hilang sejak 24 Nov 2016, ialah mangsa kehilangan paksa membabitkan anggota polis Cawangan Khas.
Keluarga kedua-dua mangsa itu kemudiannya menyaman kerajaan dan polis.