
Presidennya Azman Yusoff berkata, jika penutupan ekonomi penuh dilaksanakan kerajaan, maka ia akan memberi tekanan kepada semua peniaga, sektor dan industri tanpa mengira jenis perniagaan.
“Pekerja sudah tentu mahukan gaji mereka terus dibayar, pemilik premis mahukan sewa dibayar, pihak bank dan institusi kewangan lain juga mahukan pinjaman mereka dibayar.
“Jadi, bagaimana semua ini boleh dijamin kekal dan berjalan dengan baik jika ekonomi ditutup dan tidak dibenar beroperasi,” katanya dalam kenyataan, mengulas gesaan pelbagai pihak supaya kerajaan melaksanakan PKP penuh berikutan peningkatan kes Covid-19.
Azman berkata, tahun ini adalah tempoh pemulihan bagi industri pembinaan apabila pelbagai projek pembangunan sedang dan akan berjalan diteruskan, membabitkan kerja penyelenggaraan jalan, kemudahan awam serta lebuh raya yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Jika kerja ini dihentikan sementara, kesan bukan saja kepada pekerja, tapi rakyat secara keseluruhannya dalam menikmati kemudahan dan perkhidmatan yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Beliau berkata, PKBM sentiasa mengingatkan ahli untuk mematuhi semua SOP, menerapkan keutamaan keselamatan dan kesihatan di tapak binaan dan penempatan perumahan pekerja bagi mengekang penularan Covid-19.
Katanya, keadaan dilalui ketika ini dengan kebenaran operasi perniagaan dihadkan sudah cukup memeritkan semua golongan masyarakat termasuk sektor ekonomi.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, pada sidang media Isnin lalu berkata, pihaknya akan mencadangkan pelaksanaan PKP penuh di Selangor jika usaha sedia ada masih gagal mengekang lonjakan kes di negeri itu.