2 ditahan baling mercun pada polis di sekatan jalan

2 ditahan baling mercun pada polis di sekatan jalan

Dua suspek itu menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan dan berhenti di tepi jalan dekat SJR yang diadakan sebelum Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong.

Dua suspek berusia 16 hingga 20 tahun itu direman tiga hari sehingga 21 Mei untuk siasatan lanjut.
PETALING JAYA:
Dua lelaki direman tiga hari kerana membaling mercun ke arah anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat ibu negara semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe berkata, sebelum kejadian kira-kira 10.30 malam itu, anggota polis ternampak kedua-dua suspek berusia 16 hingga 20 tahun itu menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Mereka kemudiannya berhenti di tepi jalan dekat SJR yang didirikan sebelum Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong, Pahang.

“Tiba-tiba seorang daripada mereka membakar serta membaling mercun bola ke arah anggota polis yang bertugas di SJR dan terus melarikan diri.

“Polis kemudian mengejar dan menangkap kedua-dua suspek tidak jauh dari SJR. Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi 14 biji mercun bola bersama satu pemetik api,” katanya dipetik Bernama dalam kenyataan hari ini.

Selain mercun bola dan pemetik api, polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha LC135 dan dua topi keledar.

Kedua-dua suspek didapati negatif ujian saringan air kencing dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Arifai berkata, dua suspek itu dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan direman tiga hari sehingga 21 Mei untuk siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.