Penjaga meninggal dunia akibat Covid-19, anak yatim putus bekalan makanan

Penjaga meninggal dunia akibat Covid-19, anak yatim putus bekalan makanan

Lebih memburukkan keadaan semua 30 anak yatim yang ditempatkan di rumah kebajikan itu juga disahkan positif Covid-19 mengakibatkan rumah kebajikan itu tidak dapat dikunjungi.

Sebahagian anak yatim di Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim UMMI di Kajang (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lebih 30 anak yatim di sebuah rumah kebajikan di Kajang, terputus hubungan dengan orang luar dan bekalan makanan selepas seorang daripada penjaganya meninggal dunia akibat Covid-19 baru-baru ini.

Lebih memburukkan lagi keadaan, hampir semua anak yatim itu juga didapati positif Covid-19 dan menyukarkan pergerakan keluar masuk ke premis berkenaan.

Rumah anak yatim itu diuruskan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim UMMI Selangor, menempatkan 35 penghuni dengan 26 daripada mereka disahkan positif Covid-19.

Mereka hanya dimaklumkan keputusan itu melalui telefon semalam, selepas membuat ujian saringan pada 12 Mei.

Rumah kebajikan itu sebelum ini diuruskan pasangan warga emas yang dipanggil Tok Ayah dan Tok Mak oleh penghuninya.

Anak pasangan itu, yang dikenali sebagai Sherry berkata, bapanya meninggal dunia minggu lalu akibat Covid-19 selepas dimasukkan ke Hospital Kajang pada 6 Mei.

Sherry berkata, ibunya pula dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada petang 9 Mei lalu dan masih menerima rawatan di sana.

Menurut hantaran di laman Facebook rumah kebajikan itu, anak pasangan berkenaan yang turut diberikan amanah sebagai penjaga ketika ketiadaan mereka juga tidak dapat melawat rumah kebajikan berkenaan kerana turut disahkan positif Covid-19.

Sherry berkata, penghuni di rumah kebajikan itu tidak boleh memasak dan mereka kini terputus bekalan makanan.

Katanya, tidak ada seorang pun wakil dari pejabat kesihatan datang melawat rumah kebajikan itu selepas wabak tercetus tetapi dimaklumkan seorang pegawai pejabat kesihatan “ada berhubung dengan penghuni yang paling tua berusia 17 tahun”.

Sherry turut merayu orang ramai meyumbangkan makanan dan wang tunai bagi membolehkan urusan kebajikan penghuni rumah kebajikan itu dapat diteruskan.

Menurut Sherry, walaupun mereka berjaya mengumpul kira-kira RM15,000 untuk menampung kos makanan tiga kali sehari untuk 35 penghuni rumah kebajikan berkenaan, namun ada beberapa lagi perbelanjaan lain yang perlu ditampung.

Bagaimanapun, Sherry dalam kemaskini terbaharunya di Facebook pertubuhan kebajikan itu pada 5 petang tadi memaklumkan sumbangan diterima daripada orang ramai untuk perbelanjaan makanan penghuni kini mencukupi.

“Jika ada dalam kalangan orang awam yang masih mahu menyumbang boleh salurkan terus bantuan kewangan ke akaun rasmi pertubuhan.

“Makanan dah mencukupi dan jika ada yang mahu menyumbang makanan kering atau keperluan lain boleh lakukan secara terus ke rumah kebajikan kami,” katanya.

Pertubuhan itu tidak lagi menerima sumbangan kerana telah mencapai sasarannya, yang mampu membekalkan makanan dan ubat-ubatan untuk kanak-kanak terbabit selama dua bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.