Kenapa PN tak tawar saja bangunan Parlimen sebagai CAC, pusat kuarantin, soal Najib

Kenapa PN tak tawar saja bangunan Parlimen sebagai CAC, pusat kuarantin, soal Najib

Najib Razak secara berseloroh mencadangkan bangunan Parlimen dijadikan sebagai pusat penilaian Covid-19 (CAC) dan pusat kuarantin berikutan kesesakan teruk yang berlaku di kemudahan saringan Covid-19 ketika ini.

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, berkata penggunaan bangunan Parlimen sebagai fasiliti berkait Covid-19 lebih memanfaatkan rakyat.
PETALING JAYA:
Najib Razak secara berseloroh mencadangkan bangunan Parlimen dijadikan sebagai pusat penilaian Covid-19 (CAC) dan pusat kuarantin ekoran kesesakan teruk yang berlaku di kemudahan saringan Covid-19 ketika ini.

“Orang yang positif Covid-19 terpaksa beratur sehingga ke jalan raya untuk berjam-jam lamanya tanpa tempat membeli makanan atau minuman pun dikatakan perkara biasa dan tiada apa yang pelik?

“Perlu berlaku apa lagi sebelum ianya dikatakan pelik? Sesak sehingga begini pun dikatakan tak pelik?” soal bekas perdana menteri itu di Facebook.

Semalam, tular video mengenai situasi CAC Stadium Malawati, Seksyen 13 Shah Alam, yang sesak dibanjiri pesakit Covid-19 bagi mendapatkan saringan dan rawatan lanjut sebelum dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Serdang atau hospital.

“Kenapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tak tawar bangunan Parlimen untuk dijadikan CAC, PKRC atau ‘field hospital’ (hospital medan)?

“Lebih memanfaatkan rakyat berbanding digunakan sebagai trek joging bagi timbalan speaker,” kata Najib sinis.

Pada Mac, Ahli Parlimen Batu Pahat Rashid Hasnon dalam catatan di Facebook berkata, beliau telah lari mengelilingi Parlimen sebagai gimik acara “Parliament Virtual Run 2021”.

Menurut laporan sebuah portal, Pengurus Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) yang juga koordinator bagi kemudahan fasiliti diperlukan oleh CAC, Ahmad Sayuti Bashiron dipetik berkata, kesesakan di CAC Malawati adalah perkara biasa sejak pertengahan bulan lalu.

“Ia adalah proses biasa yang dilakukan oleh CAC Malawati sebagai pusat saringan Covid-19 paling besar di Malaysia, namun tiada pesakit ditempatkan di sini,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.