Status penghuni tetap itu, bukan dipaksa ke atasnya, namun, bagi Rahman itu pilihan terbaik untuk menyelamatkan dirinya daripada terus ‘hanyut’ dalam kancah penyeludupan dan penagihan dadah sebelum ini.
“Bila main dadah, rosak keluarga dan anak, rosak hubungan dengan Allah, hubungan dengan masyarakat. Sebab itu orang kata kita ini ‘najis’, ‘sampah masyarakat’ bila terlibat dengan dadah.
“Saya bukan penagih yang tegar, saya lebih kepada penyeludupan. Saya pernah jadi ‘runner’ untuk edar dadah ulang alik dari negeri lain ke Kuala Lumpur. Saya pun kuat main judi,” katanya ketika ditemui FMT di Madrasah Khairul Insan, di Jenagor, Hulu Terengganu.

Kehidupan bermaksiat itu menyaksikan Rahman beberapa kali ditangkap polis dan dipenjarakan, namun hatinya tidak tergerak untuk bertaubat. Ketika itu, dia mula seronok dengan kegiatan haram tersebut, walaupun memegang jawatan tinggi di tempat kerjanya.
Hidupnya diuji dengan kemewahan harta dan pangkat selepas meraih pendapatan yang lumayan – hasil jualan barang terlarang itu.
Titik perubahan hanya bermula apabila dia mengambil nasihat ahli keluarganya untuk menjalani program pemulihan di madrasah itu.
“Bila saya duduk peringkat awal ini, sebulan dua bulan, tiga bulan pertama, saya sudah rasa saya sudah baik dan sudah boleh keluar dari sini, tapi rupanya tak,” katanya.

Madrasah, yang diuruskan oleh Persatuan Insan Prihatin Terengganu ini menggunakan pendekatan kerohanian dengan pengajian agama sebagai asas program.
Menurut pengerusinya, Mohd Ariff Yong, pusat yang diasaskan sejak lebih dua dekad lalu itu, tidak menggunakan rawatan khas, sebaliknya penghuni diajar ilmu agama seperti membetulkan solat, amalan zikir, dan puasa bagi mendekatkan diri dengan Tuhan.
“Apabila mereka berada di sini, maka 100% tidak ada unsur negatif masuk sebab (tempat) kita di pesisir sungai dan ada hutan, jadi orang dari luar ni tak boleh sewenang-wenangnya masuk ke sini,” katanya.
Tahun ini tahun kelima berturut-turut Rahman menyambut Aidilfitri sebagai penghuni tetap madrasah itu.
Bagi Rahman, keputusan untuk menghabiskan kehidupannya di madrasah itu termasuk menyambut raya di sini saban tahun sesuatu yang bererti dan untuk diraikan dengan lapang hati.