Hampir 2.6 juta pencarum KWSP hanya ada kurang RM1,000 dalam akaun 1, kata Zafrul

Hampir 2.6 juta pencarum KWSP hanya ada kurang RM1,000 dalam akaun 1, kata Zafrul

Lebih RM77.8 bilion telah dikeluarkan pencarum KWSP melalui i-Sinar dan i-Lestari secara kumulatif, kata Menteri Kewangan.

Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, jelas rakyat amat terkesan dengan penutupan ekonomi dan terpaksa mengorbankan simpanan mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hampir 2.6 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000 dalam akaun 1 mereka, menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Data KWSP menunjukkan 6.4 juta pencarum mengeluarkan lebih RM57 bilion menerusi i-Sinar, manakala menerusi i-Lestari pula, RM20.8 bilion telah dikeluarkan oleh 5.3 juta pencarum, katanya.

“Ini jelas dan nyata bahawa rakyat amat terkesan dengan penutupan ekonomi dan terpaksa mengorbankan simpanan mereka sendiri untuk masa depan hanya untuk bertahan hari ini,” katanya dipetik Sinar Harian pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Oleh itu, katanya, peluang pekerjaan yang tersedia dengan pembukaan sektor ekonomi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 diharap dapat membantu golongan berkenaan mengumpul semula simpanan mereka buat masa hadapan.

Tambahnya, penutupan ekonomi secara menyeluruh ketika PKP 3.0 akan memudaratkan golongan rentan dan mudah terjejas.

Jika sektor utama seperti perkilangan tidak beroperasi, ia bakal membawa impak berpanjangan dan berlarutan kepada ekonomi, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.