
Menerusi tinjauan dijalankan terhadap 500 keluarga yang tinggal di flat kos rendah di bandar itu, 47% daripada responden melaporkan anak mereka ketagih media sosial dan mengalami masalah dengan jadual tidur.
Seorang daripada tujuh ibu bapa juga percaya anak mereka tertekan akibat kurang berinteraksi dengan rakan sebaya.
Tinjauan untuk laporan “Keluarga di Pinggiran” terdahulu dilakukan pada Mei, September dan Disember tahun lalu. Laporan dari Mac 2021 ini, setahun selepas PKP pertama, adalah yang terbaru.
Seorang daripada lima ketua keluarga dilaporkan mengalami kemurungan.
Keadaan lebih teruk dalam kalangan ketua rumah wanita akibat “beban rumah tangga meningkat” kerana lebih ramai orang duduk di rumah.
“Ibu bapa terus bimbang dengan pendidikan anak mereka dan sama ada mereka mempunyai wang mencukupi untuk menyediakan makanan bagi keluarga.”
Kira-kira 80% responden berkata, anak mereka menghadapi masalah menumpukan perhatian terhadap pelajaran, manakala 60% daripadanya sudah hilang minat belajar.
“Walaupun enam daripada 10 keluarga dilaporkan berkata program DidikTV membantu, 40% lagi menghadapi pelbagai rintangan, termasuk cabaran untuk anak mereka memahami program itu.”
Ia turut mendapati hanya 35% daripada keluarga berpendapatan rendah yang ditinjau mempunyai akses kepada peranti sesuai, manakala majoriti responden bergantung kepada telefon pintar untuk menyertai kelas dalam talian.
Susulan pembukaan semula sekolah dan aktiviti perniagaan awal tahun ini, segelintir keluarga menghadapi kesukaran membayar pengangkutan anak ke sekolah serta memberi wang saku kepada anak untuk membeli makanan di sekolah.
Menurut laporan itu, seorang daripada empat ibu bapa mengalami kesukaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan kerana mereka tidak mampu menyediakan pelitup muka untuk anak mereka setiap hari.