Lelaki disyaki tikam ibu sedang solat tarawih

Lelaki disyaki tikam ibu sedang solat tarawih

Mangsa berusia 56 tahun itu menerima 10 jahitan bagi kecederaan di tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek yang memegang pisau tiba-tiba meluru keluar dari biliknya ke arah ibu bapanya yang sedang solat di ruang tamu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menikam ibunya yang sedang menunaikan solat tarawih di kediaman mereka Taman Orkid Permai, Kepala Batas, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Noorzainy Mohd Noor dilaporkan Bernama berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 10 malam oleh seorang lelaki memaklumkan ibunya ditikam abang kandungnya.

“Ketika polis tiba di rumah itu suspek yang berusia 29 tahun masih di situ dan polis menahannya bagi membantu siasatan.

“Lelaki itu tidak bekerja dan ujian saringan air kencing suspek positif dadah namun dia tiada rekod jenayah lampau.

“Polis turut merampas dua pisau daripada suspek iaitu 31cm dan 27cm panjang berhulu plastik warna hitam,” katanya.

Beliau berkata, mangsa berusia 56 tahun yang cedera di tangan kirinya dibawa ke Hospital Kepala Batas dan menerima 10 jahitan.

Difahamkan semasa kejadian wanita itu sedang menunaikan solat tarawih bersama suaminya di ruang tamu sebelum didatangi suspek.

“Suspek tiba-tiba meluru keluar dari biliknya dengan memegang dua pisau lalu menghala ke arah ibu bapanya.

“Bapanya sempat mengelak manakala wanita itu cedera akibat ditikam anak lelakinya yang mempunyai masalah mental sejak 2016 dan kini dalam rawatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.