
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) J Solomon berkata, peningkatan tinggi bilangan kluster tempat kerja merupakan natijah langsung daripada isu tempat tinggal pekerja.
Mempersoalkan sikap “membisu” Menteri Sumber Manusia M Saravanan, beliau menggesa kerajaan supaya menarik balik penangguhan itu dan melaksanakan peraturan baharu berkenaan serta-merta.
“Keputusan menteri untuk melonggarkan pelaksanaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) adalah kemenangan besar buat majikan, tetapi merupakan langkah mundur bagi pekerja yang miskin.
“Menteri dan majikan degil memilih untuk mengabaikan keperluan menyediakan tempat tinggal lebih baik dan bersih kepada pekerja warga asing sebagai strategi penting dalam membendung wabak.
“Kami membantah sikap ambil mudah berhubung isu yang begitu penting,” kata Solomon dalam kenyataan.
Bekas setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu berkata, empat hari sebelum menteri mengumumkan keputusan menangguhkan peraturan baharu itu, timbalan beliau Awang Hashim dilaporkan berkata, banyak kes Covid-19 dikesan dalam kalangan pekerja warga asing antara lain disebabkan kurangnya kemudahan sanitasi dan penempatan.
Dua bulan lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) memberitahu bahawa kluster berkaitan kilang merekodkan angka tertinggi iaitu 80, diikuti sektor pembinaan (53) dan industri berkait perkhidmatan (31).
Menyifatkan kontradisksi yang berlaku dan pusingan U melibatkan kementerian sebagai melucukan, Solomon berkata, keputusan yang menyebelahi dunia korporat itu memberi kesan besar ke atas usaha mengawal jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja.
Beliau berkata, adalah memeranjatkan apabila menteri dilihat tidak terlibat dalam isu itu, sedangkan beliau sangat diperlukan untuk memberi keyakinan kepada pekerja bahawa kerajaan menjaga kebajikan mereka.
“Dengan semakin banyak tempat kerja melaporkan peningkatan kluster Covid-19, maka menteri dan pegawainya mesti berdepan realiti dengan segera dan mengambil semua langkah untuk menyekat penularan wabak.
“Peraturan lebih ketat perlu dibuat dengan kewuduan sistem penguatkuasaan berkesan untuk memeriksa tempat kerja. Kementerian mesti mengetuai tindakan dan mengawal keadaan,” katanya.
Solomon menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya campur tangan dan membatalkan perintah penangguhan yang dibuat oleh menteri sumber manusia dengan menambah bahawa pekerja mempunyai hak untuk mendapat tempat tinggal yang selesa sama seperti ahli politik.
“Gelombang Covid-19 sekarang tidak akan berlalu begitu sahaja. Kita nampaknya melakukan perkara sama berulang-ulang kali, tetapi pada masa sama mengharapkan hasil yang berlainan.
“PKP, PKPB atau perintah sekatan lain akan gagal melainkan kementerian memperlihatkan azam lebih tinggi berkaitan SOP di tempat kerja dan hostel pekerja.”