TNB rugi lebih RM1 juta, 4 premis curi elektrik lombong bitcoin

TNB rugi lebih RM1 juta, 4 premis curi elektrik lombong bitcoin

Polis berkata kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak Ogos tahun lalu.

Polis menyerbu empat premis yang mencuri elektrik untuk melombong bitcoin di Seremban.
SEREMBAN:
Kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan aktiviti melombong bitcoin di empat premis kedai di Taipan 2 Pusat Bandar Senawang, dibongkar menerusi serbuan petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Aibee Abd Ghani, berkata kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak Ogos tahun lalu yang mengakibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian kira-kira RM1.2 juta.

Katanya, hasil risikan dalam tempoh dua minggu, satu operasi oleh sepasukan anggota polis bersama kakitangan TNB dilakukan 2.30 petang semalam.

“Mereka menggunakan modus operandi menyewa tingkat dua premis terbabit bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sebelum membuat penyambungan elektrik secara haram.

“Bagaimanapun, ia terbongkar selepas TNB mengesan penggunaan elektrik yang tinggi di semua premis terbabit.

“Melihat kepada keadaan di dalam premis dengan peralatan yang dipasang, ia dijadikan sebagai tempat melombong bitcoin dengan mencuri elektrik tanpa sambungan meter TNB,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti dalang di sebalik aktiviti berkenaan manakala pemilik premis dipanggil bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya percaya kemungkinan empat premis terbabit disewa oleh pihak sama.

“Polis juga merampas semua 355 mesin dan beberapa peralatan dari keempat-empat premis berkenaan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 kerana mencuri elektrik dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat terhadap bangunan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.