Budak tergelincir, hanyut dalam arus longkang

Budak tergelincir, hanyut dalam arus longkang

Kejadian berlaku ketika hujan lebat apabila mangsa berusia lapan tahun sedang bermain dengan abangnya dan seorang rakan.

Ketua Polis Daerah Seremban Mohd Said Ibrahim berkata operasi mencari mangsa kini giat dilakukan.
SEREMBAN:
Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun dikhuatiri lemas akibat tergelincir di sebuah longkang di Flat Cempaka, Garden Avenue, Seremban 2, dekat sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban Mohd Said Ibrahim berkata dalam kejadian pada kira-kira 4 petang itu, mangsa dikatakan sedang bermain dengan abangnya berusia sembilan tahun dan rakan berusia 12 tahun, sebelum tergelincir ke dalam longkang di flat berkenaan.

“Maklumat awal diterima, mangsa bersama dua lagi kanak-kanak sedang bermain di tepi longkang di kawasan Flat Cempaka dan salah seorang daripada mereka tergelincir lalu dihanyutkan air deras, ketika itu hujan lebat,” katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi kejadian.

Katanya, operasi mencari mangsa kini giat dilakukan di Kolam Tadahan Air Taman Arowana Impian dengan bantuan 10 anggota polis berserta 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2.

Jelasnya mengikut penilaian pihak bomba, laluan air itu akan terus ke Mambau dan tumpuan operasi pencarian dilakukan secara atas permukaan, dan selepas itu akan dibantu oleh anggota scuba.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.