
Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau belum nampak sebarang reaksi kerajaan terhadap pengesanan banyak kluster tempat kerja.
“Hari ini sahaja dicatatkan 10 kluster tempat kerja yang baharu…ini bukan jumlah yang kecil,” kata beliau dalam catatan di Facebook.
“Sehingga hari ini, tidak ada arahan untuk bekerja dari rumah atau sebarang rancangan untuk memastikan kluster tempat kerja tidak lagi bertambah dari hari ke hari.”
Menyentuh 22 kematian akibat Covid-19 hari ini, Syed Saddiq berkata, ia bukan isu politik mahupun siapa yang layak memerintah.
“Nyawa rakyat sekarang harus dilindungi. Malangnya, tidak ada apa-apa rancangan yang dibentangkan,” kata beliau.
Kuala Lumpur diletakkan di bawah PKP hari ini, bersama Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi di Johor, Taiping di Perak, serta 14 mukim di Terengganu.
PKP di kawasan itu akan berkuat kuasa hingga 20 Mei.
PKP turut dilaksanakan di enam daerah di Selangor – Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang – bermula semalam hingga 17 Mei, serta Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim di Kedah sejak 1 Mei hingga 14 Mei ini.
Syed Saddiq berkata, sehingga hari ini, tidak ada SOP baharu dikeluarkan bagi tempat kerja dan kerajaan tidak boleh hanya mengharapkan majikan untuk mengarahkan pekerja bekerja dari rumah.
“Perlu ada arahan rasmi dari kerajaan,” gesa beliau.