Lelaki dicekup selepas 12 tahun pandu lori tanpa cukai jalan

Lelaki dicekup selepas 12 tahun pandu lori tanpa cukai jalan

Lori itu antara 10 kenderaan berat ditahan dalam operasi terbabit turut dikesan melakukan kesalahan membawa lebih muatan selain keadaan tayar yang sudah botak.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Ahmad Adnan Basri, berkata pemeriksaan mendapati kebanyakan kenderaan berat itu membawa lebih muatan ditetapkan dan kesalahan lalu lintas lain termasuk tiada cukai jalan melebihi 12 tahun.
TELUK INTAN:
Gara-gara memandu lori yang tidak memiliki cukai jalan sejak 12 tahun lalu, seorang pemandu membawa muatan sawit cuba meloloskan diri sebelum berjaya ditahan di Plaza Tol Teluk Intan, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), hari ini, dalam Op Perdagangan (timbang berat).

Lori itu antara 10 kenderaan berat ditahan dalam operasi terbabit turut dikesan melakukan kesalahan membawa lebih muatan selain keadaan tayar yang sudah botak.

Operasi bermula 8 pagi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di beberapa lokasi sekitar Teluk intan dan Hutan Melintang.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Ahmad Adnan Basri, berkata pemeriksaan mendapati kebanyakan kenderaan berat itu membawa lebih muatan ditetapkan dan kesalahan lalu lintas lain termasuk tiada cukai jalan melebihi 12 tahun.

“Satu daripada lori yang ditahan merupakan lori sawit dipandu seorang lelaki berumur 41 tahun yang didapati tiada cukai jalan lebih 12 tahun dengan keadaan kenderaan itu sudah uzur termasuk tayar sudah botak.

“Pemandu berkenaan mempunyai lesen memandu dan dia mendakwa terpaksa akur mengikut arahan majikan yang mahu kenderaan berat itu terus beroperasi,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di IPD Hilir Perak.

Ahmad Adnan berkata, dalam operasi tersebut, pihaknya turut menyita lima kenderaan berat kerana salah guna permit, beroperasi ketika permit ditahan dan tiada lesen memandu selain mengeluarkan lima saman manakala JPJ pula turut mengeluarkan lima saman.

“Seramai 10 warga tempatan diperiksa dalam operasi ini dan kita turut menerima maklumat mengenai pemandu warga asing, namun setakat ini tiada tangkapan dan kita akan meningkatkan operasi dari semasa ke semasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 57(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya sambil menasihati pemilik atau pengusaha kenderaan berat supaya memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dan mematuhi undang-undang sekali gus dapat mengelak berlaku kemalangan terutama apabila membawa lebih muatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ negeri Ahmad Tarmizi Saad, berkata kenderaan berat yang dikesan tiada cukai jalan lebih 12 tahun berkenaan turut didapati tiada lesen pengendali (untuk syarikat) dan lesen pembawa (untuk kenderaan).

Beliau berkata, pada masa sama pihaknya mendapati masih ada kawalan tonto yang akan memberi maklumat kehadiran pihak berkuasa kepada pemandu lori.

“Seperti operasi ini, sebaik kami keluar dari lebuh raya Tapah pagi tadi, sudah ada enam tonto. JPJ mengambil maklumat dan akan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.