Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, kebanyakan majikan kini bergelut untuk mempertahankan perniagaan masing-masing dalam ekonomi yang terkesan oleh wabak Covid-19.
Pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata, syarikat juga terpaksa bergantung pada skim subsidi upah kerajaan untuk membayar sebahagian daripada gaji kakitangan mereka.
“Kebanyakan majikan masih bergelut untuk meneruskan perniagaan mereka walaupun selepas kerajaan menarik balik sekatan ke atas operasi syarikat, terutama kakitangan yang memegang jawatan pengurusan dan penyeliaan.
“Pada tahun lepas kebanyakan syarikat tidak langsung bercakap tentang keuntungan, sebaliknya hanya bekerja keras untuk meneruskan perniagaan dan mengekalkan pekerja,” katanya kepada FMT.
Shamsuddin berkata, lebih 32,000 syarikat ditutup tahun lepas, sementara lebih 107,000 orang hilang pekerjaan.
Walaupun keutamaan sekarang ialah mempertahankan perniagaan, namun banyak syarikat berdepan masalah kewangan dan kekangan aliran tunai, katanya.
“Majikan cuba mengawal kos menjalankan pekerjaan yang turut melibatkan gaji kakitangan.
“Salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan dalam semakan semula paras gaji minimum ialah kemampuan majikan untuk membayarnya. Umumnya majikan tidak mempunyai kemampuan untuk menyerap kos kenaikan gaji,” katanya.
Semalam presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, andaian bahawa kos hidup akan meningkat sekiranya gaji dinaikkan tidak boleh diterima, dengan menambah bahawa ia hanyalah alasan yang digunakan oleh kapitalis untuk meraih keuntungan lebih besar dengan mengetepikan kebajikan pekerja.
Beliau berkata demikian ketika menggesa Putrajaya supaya mengemas kini sistem gaji kakitangan awam bagi memastikan ia relevan dengan masa.