
Mohd Puad Zarkashi berkata, dakwaan Abdul Hamid Bador bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) dicemari unsur politik merosakkan integriti pasukan itu.
Semalam, Hamid, yang kontrak perkhidmatannya tamat Isnin depan, membidas Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin kerana campur tangan dalam urusan polis.
Pendedahan itu dibuat selepas beberapa jam Hamzah mengesahkan bahawa beliau merupakan individu dalam rakaman audio tular yang membincangkan rombakan serta pelantikan pegawai kanan polis.

Hamid akan diganti oleh timbalan KPN Acryl Sani Abdullah Sani.
“Justeru RCI perlu ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut,” kata Puad dalam kenyatan malam tadi.
Dalam pada itu, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin juga percaya dakwaan Hamid perlu disiasat.
“Berdasarkan undang-undang, kita tidak boleh terus menyimpulkan bahawa Hamzah bersalah,” katanya, selain menambah bahawa atas sebab itu siasatan menyeluruh perlu dibuat.

Hanipa bagaimanapun menyoal bagaimanakah polis boleh menjalankan siasatan yang bebas dan berwibawa ke atas menteri yang bertanggungjawab ke atas pasukan itu.
“Bagi membolehkan siasatan yang bebas, profesional dan adil dijalankan, maka wajar menteri dalam negeri diarah bercuti sehingga siasatan selesai.
“Juga tidak salah meminta KPN dan penggantinya bercuti bagi membolehkan siasatan dijalankan sewajarnya.”