Tak puas hati kena ‘halau’, warga emas bakar rumah sewa

Tak puas hati kena ‘halau’, warga emas bakar rumah sewa

Suspek yang berusia lingkungan 60-an itu disyaki mengalami masalah mental.

Bomba memadam kebakaran di lokasi kejadian. (Gambar Facebook Bomba Johor)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga emas dipercayai membakar rumah sewanya kerana tidak berpuas hati diarah keluar oleh pemilik rumah itu dalam kejadian di Taman Pelangi, Johor Bahru, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Larkin Mohd Suhaimi Abdul Jamal, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.10 tengah malam.

Seramai 28 anggota dengan lima jentera digerakkan ke lokasi kejadian, selain turut dibantu BPP Tebrau.

“Di lokasi kejadian, bomba mendapati terdapat dua rumah teres satu tingkat terbakar dengan satu daripadanya musnah sebanyak 80%, manakala rumah sebelahnya hanya terbakar 10% sahaja,” katanya, menurut laporan Bernama.

“Kebakaran dipercayai bermula di bahagian ruang tamu rumah.”

Suhaimi berkata, berdasarkan maklumat daripada jiran, individu yang berusia 60-an itu membakar rumah sewanya sebelum melarikan diri.

Selepas bomba berjaya mengawal kebakaran, mereka terpaksa bergegas semula ke lokasi kejadian kerana dimaklumkan individu terbabit pulang dan cuba membakar rumah itu sekali lagi.

Suhaimi berkata, individu itu berjaya ditangkap dan diserahkan kepada Balai Polis Taman Pelangi.

Suspek yang mempunyai isteri serta anak di Singapura dan disyaki mengalami masalah mental dikehendaki keluar dari rumah sewanya hari ini, menurut jirannya.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan Mohd Padzli Mohd Zain, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.