Polis nafi tak ambil tindakan suami isteri dirakam bertengkar

Polis nafi tak ambil tindakan suami isteri dirakam bertengkar

Video sepasang suami isteri yang dilihat bertengkar di hadapan sebuah kedai di Sri Petaling, pada kira-kira 4 petang semalam tular di Twitter.

Menurut polis, hasil siasatan melalui temu bual pasangan berusia 20-an itu mendapati berlaku salah faham antara mereka berkenaan penjagaan anak.
KUALA LUMPUR:
Polis menafikan pihaknya tidak mengambil tindakan berhubung kejadian sepasang suami isteri yang dirakam bertengkar di hadapan sebuah kedai di Sri Petaling, pada kira-kira 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar berkata sebaliknya pasangan berkenaan enggan membuat laporan polis walaupun telah ke Balai Polis Sri Petaling dan dinasihati ketua balai untuk berbuat demikian.

Beliau berkata hasil siasatan polis melalui temu bual pasangan berusia 20-an itu mendapati berlaku salah faham antara mereka berkenaan penjagaan anak.

“Polis telah memberikan nasihat untuk berbuat demikian (buat laporan), tetapi mereka enggan dan telah berdamai serta beredar dari balai,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Menurut beliau, tidak lama selepas itu kejadian pertengkaran pasangan berkenaan tular di media sosial Twitter yang berdurasi seminit 10 saat yang dimuat naik oleh princess@radenzaharatul.

Warganet bertindak melontarkan komen negatif dengan mendakwa polis tidak menjawab telefon dan tidak bekerja.

Anuar berkata pihak polis telah mengambil tindakan sewajarnya dan dakwaan tular itu adalah tidak benar sama sekali.

“Orang awam dinasihatkan agar berhati-hati dalam memberi komen yang boleh menjatuhkan imej polis dan persepsi orang awam terhadap polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.