Laporan bunuh diri serlah keperluan dasar migrasi pekerja, kata kumpulan hak asasi

Laporan bunuh diri serlah keperluan dasar migrasi pekerja, kata kumpulan hak asasi

Seorang pekerja warga Pakistan berusia 30 tahun dilaporkan membunuh diri selepas mendakwa beliau tidak dibayar gaji selama lima bulan.

Beberapa kumpulan berkata, kerajaan perlu menjalankan pemeriksaan lebih kerap di tapak pembinaan dan syarikat pembuatan bagi menjamin kebajikan pekerja.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi mengulangi gesaannya supaya diwujudkan dasar migrasi pekerja kebangsaan bagi melindungi hak warga asing susulan laporan insiden bunuh diri seorang pekerja binaan warga Pakistan.

Pekerja berusia 30 tahun itu dikatakan membunuh diri selepas mendakwa beliau tidak dibayar gaji selama lima bulan.

Pengarah eksekutif Tenaganita Glorence Das berkata, eksploitasi pekerja warga asing akan terus berlaku jika dasar migrasi pekerja kebangsaan tidak dilaksanakan.

“Walaupun insiden bunuh diri jarang berlaku, namun ramai yang menganggap ia satu-satunya pilihan susulan berasa tidak berguna serta putus harapan kerana tidak mampu menampung diri sendiri dan keluarga di kampung halaman,” katanya kepada FMT.

“Keadaan menjadi lebih buruk jika hutang mereka terus bertambah.”

Das berkata, pekerja warga asing berhak mendapat ganti rugi ke atas upah yang tidak dibayar dan proses itu hendaklah dijelaskan kepada mereka.

“Persekitaran yang membantu mesti diwujudkan bagi membolehkan mereka menyuarakan masalah,” katanya.

Beliau menyarankan lebih banyak pemeriksaan mengejut dibuat oleh Jabatan Buruh berhubung kebajikan pekerja.

Pengarah eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira berkata, insiden itu menunjukkan kegagalan Malaysia melindungi hak pekerja warga asing, sekali gus menyebabkan mereka “terdesak ke dinding”.

Beliau juga berkata, syarikat pembinaan harus berhubung dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mengenai cadangan pembaharuannya bagi industri tersebut.

Dalam pada itu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, kerajaan perlu menambah pegawai di Jabatan Buruh bagi membolehkan pemeriksaan berkala dijalankan di tapak pembinaan dan syarikat pembuatan.

Setiausaha agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata, tidak cukup pegawai untuk memantau pekerja asing menyebabkan majikan mengambil kesempatan ke atas mereka.

Jurucakap jabatan berkata, kematian pekerja warga Pakistan itu sedang disiasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.