
Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, Putrajaya memutuskan untuk meningkatkan tempoh kuarantin bagi pelancong yang memasuki Malaysia dari UK, Afrika Selatan, Brazil dan Jepun daripada 10 hari menjadi 14 hari, selepas varian Afrika Selatan virus Covid-19 dikesan di negara-negara tersebut.
Susulan itu, hari ini Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 36 negara lain turut dimasukkan dalam senarai itu.
“Pengembara akan dilepaskan dari kuarantin pada hari ke-14 sekiranya ujian pengesanan Covid-19 adalah negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehingga 29 April lalu, tiga Variant of Concern (VOC) SARS-CoV-2 dikenal pasti, iaitu B.1.351, B.1.1.7 dan B.1.1.28 (P1).
Di benua Amerika, negara yang dikesan dengan penularan dalam komuniti VOC SARS-CoV-2 adalah Amerika Syarikat, Argentina, Kanada, Chile, Colombia, Mexico dan Peru.
Benua Eropah pula melibatkan Austria, Belgium, Denmark, Greece, Ireland, Itali, Jerman, Lithuania, Belanda, Norway, Perancis, Republik Czech, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan Turki.
Negara-negara di Asia termasuk Bangladesh, India, Kemboja, China dan Filipina, sementara Asia Barat membabitkan Emiriah Arab Bersatu, Iraq, Israel dan Qatar.
Rwanda, Mozambik, Nigeria, Tanzania pula negara yang tersenarai di Afrika.