
Menerusi forum dalam talian Kita Nak Borak, pengarang Pendidikan Seksualiti Kanak-Kanak, Mohd Fairuz Abu berkata, mentaliti lapuk seperti itu tidak sepatutnya wujud di sekolah dan perlu dihentikan.
“Bila cikgu menggunakan rogol sebagai bahan gurauan dan bila pelajar buat aduan, tiada tindakan yang wajar diambil.
Saya kesal cara segelintir sekolah kendali masalah ini, lebih menjaga nama baik sekolah, mengelak untuk berdepan dengan kementerian pendidikan, ini adalah satu mentaliti lapuk yang tidak patut ada,” katanya ketika mengulas isu jenaka rogol oleh guru.
Aktivis pelajar Ain Husniza Saiful Nizam, 17, yang video TikToknya viral mendakwa seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol ketika dalam kelas berkata, dia ada membuat aduan kepada beberapa orang guru, namun dia malah diremehkan.
“Apabila saya mengadu hal ini pada guru kaunseling, dia berkata saya beremosi dan sensitif. Jadi, saya pergi jumpa guru kelas saya beritahu apa yang berlaku, memandangkan guru kaunseling saya tidak membantu, saya tertanya-tanya apa yang guru saya boleh lakukan.” katanya.
Ain berkata, walaupun pada awalnya guru kaunselingnya tidak begitu membantu, tetapi guru kelasnya tetap cuba meyakinkannya bahawa guru tersebut mungkin sedang mencari jalan penyelesaian.
“Ini adalah toksik di mana orang dewasa sedang berusaha untuk saling menutupi kesalahan dan tidak menjaga pelajar mereka.”
Baru-baru ini Ain melaporkan dia menerima ugutan rogol daripada rakan sekolahnya sendiri selepas mendedahkan tindakan guru terbabit, sehingga bapanya membuat laporan polis.
Sementara itu, aktivis pendidikan Cheryl Ann Fernando berkata, guru khusus daripada golongan muda seharusnya mendorong para pelajar untuk berani mengutarakan pandangan mereka dalam usaha memangkin perubahan yang lebih baik.
“Saya menaruh harapan kepada guru-guru muda, agar membantu para pelajar menyuarakan pendapat mereka, kerana mereka adalah pemangkin kepada perubahan yang lebih baik,” katanya.