Selain peniaga burger, 2 lagi kedai makan didenda RM50,000

Selain peniaga burger, 2 lagi kedai makan didenda RM50,000

Ketua polis Kelantan berkata, nilai kompaun itu akan dikurangkan mengikut garis panduan ditetapkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Wan Mohd Faisal Wan Kadir dikompaun RM50,000 kerana dikatakan menjual burger di depan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, melebihi masa ketika PKP pada malam Ahad lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis berkata, dua lagi pemilik kedai makan di Kelantan turut dikompaun RM50,000 kerana didakwa beroperasi melebihi masa ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), seperti peniaga burger yang beroperasi di depan rumahnya pada malam Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat dalam kenyataan berkata, pihaknya akan memanggil tiga peniaga itu, termasuk peniaga burger yang didenda RM50,000, untuk mengurangkan nilai kompaun mereka.

Katanya, pengurangan nilai kompaun itu akan dibuat mengikut garis panduan bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, penguatkuasaan terhadap pematuhan SOP dipertingkatkan di seluruh Kelantan susulan pelaksanaan PKP sejak 16 hingga 29 April ini, yang menyaksikan 127 kompaun dikeluarkan sehingga semalam.

Semalam, kisah Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, yang menjual burger di depan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, dikompaun RM50,000 kerana dikatakan beroperasi melebihi masa ketika PKP, tular di media sosial.

Susulan itu, beliau membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu untuk kompaun itu dibatalkan atas alasan beliau terpaksa berniaga lebih masa di bulan Ramadan memandangkan waktu boleh berniaga terlalu singkat dan ketika kejadian, tiada seorang pun pelanggan di gerainya.

Katanya, beliau sedang menunggu pemakluman daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan menghantar rayuannya kepada Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini berkata, kompaun RM50,000 sepatutnya hanya untuk syarikat, seperti yang dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berhubung kategori nilai kompaun.

Katanya, kompaun mengingkari SOP akan dikeluarkan polis, tetapi nilai kompaun itu terletak di bawah bidang kuasa KKM.

Dalam majlis berasingan, Ismail berkata, isu kompaun itu mungkin disebabkan pegawai penguat kuasa kurang teliti dengan garis panduan.

Katanya, isu itu tidak sepatutnya berlaku dan pihak berkuasa seperti polis perlu menggunakan budi bicara sebelum menghukum pengingkar SOP.

“Kadang-kadang ada pihak berkuasa kurang teliti dari segi tindakan, walaupun mereka ada budi bicara, sebagai contoh berniaga di depan rumah dikompaun RM50,000 memang tidak logik, jadi orang marah,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra dengan Persatuan Veteren Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Perwira.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai tidak menyalahkan seluruh pasukan polis disebabkan beberapa pegawai penguat kuasa melakukan kesalahan dan mempunyai kelemahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.