
Mahkamah Majistret memerintahkan suspek direman mulai hari ini selepas mempertimbangkan permohonan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, mereka ditahan selepas dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, kira-kira 12 tengah hari semalam.
“Kedua-dua suspek terbabit ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan penyediaan laporan audit yang diubah suai bagi tujuan penyediaan dan pengisytiharan laporan kewangan palsu syarikat.
“Tujuan penyediaan laporan kewangan palsu itu untuk menunjukkan syarikat terbabit mempunyai pendapatan dan keuntungan rendah, bagi memastikan mereka dapat mengurangkan jumlah cukai pendapatan yang dibayar mereka kepada LHDN setiap tahun,” katanya kepada FMT.
Sumber berkata mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM kerana kesalahan menerima atau memberi rasuah.
Katanya, SPRM juga menyerbu beberapa syarikat dan merampas pelbagai dokumen penting termasuk laporan kewangan firma, yang mempunyai kaitan dengan kes ini di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
SPRM juga masih menyiasat jumlah sebenar kerugian yang dialami negara, dan nilai cukai pendapatan yang ditipu oleh syarikat terbabit, katanya.
“Kita sudah masuk ke beberapa syarikat dan merampas banyak dokumen penting berkaitan akaun diaudit syarikat bagi 2018 dan 2019, namun SPRM belum dapat kenal pasti nilai sebenar cukai yang sudah dipalsukan mereka,” katanya.