‘Nak Atta suap’, tose hasil air tangan nenek juadah cucu berbuka puasa

‘Nak Atta suap’, tose hasil air tangan nenek juadah cucu berbuka puasa

M Vanitha gembira menyediakan juadah berbuka puasa untuk dikongsi bersama anak, menantu dan cucunya yang beragama Islam.

M. Vanitha, 71, menyediakan tose dan kuah dal untuk cucu bongsunya, Afeef Faeq Khan Affendi Rajini Kanth, 10. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Waktu menghampiri senja, kelihatan seorang wanita tua berbaju punjabi rona biru muda memetik daun kari di hadapan rumahnya dalam keadaan tergesa-gesa.

Tidak lama kemudian, M Vanitha, 71, terus menuju ke dapur untuk menyediakan tose dan kuah dal untuk cucu bongsunya, Afeef Faeq Khan Affendi Rajini Kanth, 10, yang bertandang ke rumahnya di Taman Kangar untuk berbuka puasa.

“Tose panas hanya boleh dimasak lima minit sebelum waktu berbuka bagi mengekalkan kelazatannya.

“Biarpun letih perlu memasak tose satu persatu di atas dapur gas, ia tidak seletih Afeef yang berpuasa sepanjang hari,” kata beliau kepada Bernama baru-baru ini, sambil mengusik cucunya yang sedang berehat di ruang tamu.

Vanitha, yang mesra disapa sebagai “Atta” (nenek) berkata, cucunya yang berdarah campuran Melayu-India itu amat menggemari tose panas yang ditabur gula dan minyak sapi dimakan bersama kuah dal istimewa hasil air tangan neneknya.

Kata Vanitha, walaupun kudratnya tidak sekuat dahulu, tetapi sebaik mengetahui anaknya dan keluarga akan berbuka puasa di rumahnya, beliau menggagahkan diri untuk menyediakan hidangan kegemaran cucunya itu.

Beliau juga gembira dapat makan bersama-sama, malah turut menyuapkan Afeef tose panas itu.

Vanitha, yang tinggal bersendirian setelah kematian suami berkata, walaupun berbeza agama, ia tidak menjadi penghalang untuknya menyediakan juadah berbuka setiap kali Ramadan kerana gembira dapat merasakan kemeriahan berbuka puasa bersama anak, menantu dan cucunya itu.

Nenek kepada tujuh cucu itu juga akan menghantar masakan tradisional itu kepada tiga cucunya yang lain yang turut menggemari hidangan tose itu di Taman Masmuda Kangar, kira-kira 5km dari rumahnya hampir setiap minggu.

Sementara itu, Afeef berkata, keenakan tose neneknya itu tiada tandingan dan dia boleh menghabiskan tiga keping tose berinti gula dan minyak sapi bersama kuah dal sewaktu berbuka tanpa menjamah makanan lain.

“Rasa sangat sedap, lembut dan rasa nak lagi bila makan tose Atta buat … selalu Afeef nak datang sini makan dengan Atta dan mahu Atta suapkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.