Pecah masuk rumah cucu Dr M, polis rakam keterangan 3 individu

Pecah masuk rumah cucu Dr M, polis rakam keterangan 3 individu

Keterangan pengawal keselamatan dan dua pembantu rumah dirakam bagi bantu siasatan kehilangan barang kemas bernilai RM1.8 juta.

Usuf Jan Mohamad
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata setakat ini tiada lagi tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut masih dijalankan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis merekodkan keterangan tiga individu bagi membantu siasatan kes pecah masuk kediaman cucu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Bukit Ledang, di sini pada Rabu lepas.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata tiga individu terbabit terdiri daripada pengawal keselamatan dan dua pembantu rumah melibatkan warga tempatan dan warga asing.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada lagi tangkapan dilakukan, siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, media melaporkan kediaman milik cucu kepada bekas perdana menteri itu dipecah masuk mengakibatkan mangsa kehilangan barang kemas bernilai RM1.8 juta yang disimpan di dalam bilik di rumah berkenaan.

Difahamkan, kejadian itu disedari oleh pembantu rumah pada 3 petang, Rabu lepas setelah mendapati pintu pagar di bahagian belakang rumah dipotong dan bilik majikannya dipercayai dimasuki pencuri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.