Cucu didakwa curi kad ATM datuk, beli alat ganti motosikal

Cucu didakwa curi kad ATM datuk, beli alat ganti motosikal

Syahmi Izhar Shapawi dipercayai berbelanja RM20,000 dari kad ATM itu untuk beli alat ganti motosikal dan barang kemas.

mahkamah melaka
Izhan Syahmi Izhar Shapawi, 18, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka kerana mencuri kad ATM milik datuknya pada Mei lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang remaja didakwa di Mahkamah Majistret Melaka kerana mencuri kad mesin juruwang automatik (ATM) milik datuknya pada Mei lalu sebelum berbelanja kira-kira RM20,000 untuk membeli alat ganti motosikal dan emas.

Izhan Syahmi Izhar Shapawi, 18, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, Izhan didakwa mencuri sekeping kad debit ATM Agrobank milikan Ahmad Jantan, 71, di sebuah rumah di Bukit Rambai pada jam 1.30 petang, 30 Mei lalu.

Tertuduh dipercayai menggunakan kad ATM itu dengan membeli alat ganti motosikal selain barang kemas yang dianggarkan kira-kira RM20,000.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudiannya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib manakala tertuduh diwakili peguam Amritpal Singh.

Hanis Aliah mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, tetapi Amritpal merayu jaminan rendah dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan ibunya hadir sebagai penjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan 16 Ogos sebagai sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.