
Bagaimanapun, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) cepat mengambil tindakan dengan mengarahkan pelukis berkenaan menyiapkan lukisan “bahagian yang sensitif” pada mural berkenaan dalam tiga jam.
“MDKS telah mengarahkan pelukis untuk menyiapkan bahagian yang sensitif dengan segera dalam tempoh tiga jam dan disempurnakan pukul 10 malam (semalam),” kata MDKS dalam kenyataan.
MDKS bertindak selepas mural kurang sopan berkenaan di Balai Seni Jalan Sasaran, Sungai Buloh, Jeram, mula tular di laman sosial sejak semalam.
Ia memaparkan tiga wanita bogel pada dinding bangunan tersebut.
MDKS berkata, lukisan itu telah siap 40% dan dijangka siap sepenuhnya pada atau sebelum 26 April ini.
Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan. Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Ramli Kasa, mengesahkan pihaknya membuka dua kertas siasatan.
Beliau berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat kepada harta benda dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah.
Katanya, siasatan awal mendapati projek seni lukis yang mendapat kelulusan MDKS pada 22 Mac lepas, dimulakan oleh Persatuan Kesenian Sasaran Kuala Selangor pada 12 April.
“Bagaimanapun pihak MDKS tidak secara jelas diberitahu apakah bentuk atau jenis mural yang akan dilukis pada dinding tersebut,” katanya.
Hasil keterangan daripada pelukis mural berkenaan, pihaknya dimaklumkan bahawa lukisan itu perlu dilukis mengikut lapisan demi lapisan sehingga selesai, kata beliau.
MDKS berkata, pihaknya menerima maklumat awal lukisan separuh siap itu tular di media sosial.
Pihak berkuasa tempatan itu memberi peringatan kepada penggiat seni agar sentiasa berhati-hati dan menjaga sensitiviti budaya tempatan dalam penghasilan karya seni dan merujuk kepada MDKS terlebih dahulu.