Seniman Mat Sentul dapat bantuan JKM RM500 sebulan

Seniman Mat Sentul dapat bantuan JKM RM500 sebulan

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail, berkata, bantuan bulanan itu akan diterima seniman berusia 88 tahun itu bermula Mei ini.

Mat Sentul rindu mahu bertemu rakan seangkatan yang masih hidup. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Seniman, Abdul Rashid Yahya atau Mat Sentul akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor bermula Mei ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail, berkata ia bagi meringankan beban pelawak veteran berusia 88 tahun itu, yang kini tinggal berdua bersama anak lelakinya, Roslee Rashid, 59.

“Kita berikan sumbangan kotak makanan kepada Mat Sentul selain akan menyalurkan bantuan bulanan RM500 bermula Mei. Ini juga sebagai sumbangan dan jasa beliau dalam industri hiburan terutama perfileman.

“Mat Sentul masih lagi sihat. Kita sama-sama doakan legenda hebat ini akan terus diberikan kesihatan yang baik,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Zaiton berkata, Mat Sentul salah seorang daripada 11,373 penerima bantuan di daerah ini.

“Bermula dari Januari lalu hingga kini sebanyak RM4 juta diperuntukkan sebulan bagi bantuan kepada 11,373 penerima JKM,” katanya.

Sementara itu, Mat Sentul yang tidak mempunyai sebarang penyakit kronik dan hanya sakit lutut mengucapkan terima kasih kepada pihak JKM atas sumbangan itu.

“Terima kasih JKM ingat saya, terima kasih juga kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan sebelum ini.

“Saya rindu mahu bertemu rakan seangkatan yang masih hidup,” kata bapa kepada lima anak dan 15 cucu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.