
Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, permintaan untuk sayurnya terjejas, memaksa bapa berusia 32 tahun itu melakukan pelbagai kerja termasuk di bengkel cuci kereta sebelum ditutup.
Sealepas itu, Effandy mengambil upah membersihkan tanah perkuburan Cina malah berjaya meraih pendapatan selesa ketika ketika upacara Cheng Beng.
Tetapi malang menimpa lagi apabila rumahnya musnah dalam kebakaran awal pagi 6 April, kira-kira seminggu sebelum Ramadan.
Kebakaran turut memusnahkan pokok mangga, kelapa, kelor dan tanaman lain yang sejak lima tahun lalu menjadi punca pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan apabila mendapat permintaan tinggi di restoran berdekatan.
Sejak itu, tiga beranak tersebut menginap di tingkat atas stor simpanan barang dengan ihsan jiran mereka, bersebelahan rumah mereka.
Kerajaan Pulau Pinang menawarkan keluarga itu satu unit kediaman kecemasan di rumah pangsa selama dua bulan, namun ditolak.
“Kami berada di sini lebih 70 tahun. Saya dan lima adik-beradik dibesarkan di sini, malah lima generasi keluarga saya tinggal di sini,” katanya ketika ditemui wartawan di luar rumahnya yang musnah itu di perkampungan lama yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Kampung Paya, di Lorong Sempadan 2.
Effandy yang menderita penyakit hati selama 10 tahun malah baru-baru ini mendapat rawatan Hepatitis C, berharap bantuan untuk membangunkan semula rumahnya namun sehingga kini tidak kesampaian malah hidupnya kini lebih sukar.
Pada waktu malam dia terpaksa melempar batu untuk menghalau ular dan tikus, manakala tandas di luar rumah tiada bekalan air disebabkan terputus sejak kebakaran berlaku.
Jiran yang murah hati mengongsikan bekalan elektrik untuk mengecas telefon melalui kabel sambungan, dan satu keluarga Cina pula membenarkan mereka menggunakan bilik mandi untuk mandi dan berwuduk.
Isteri Effandy, Salbilla Supriyadi, 41, pernah bekerja sebagai pengasuh bagi seorang lelaki tua yang tinggal berdekatan, tetapi diberhentikan kerja selepas pandemik Covid-19 menular dan sehingga kini usaha mencari kerja sebagai tukang cuci juga tidak berhasil.
Selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran, jiran-jiran berusaha memberi bantuan, termasuk Persatuan Hindu Pulau Pinang membekalkan susu tepung, lampin, makanan dan kipas.
Presidennya P Murugiah berkata, walaupun kerajaan negeri, melalui ADUN Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai, datang untuk membantu selepas kebakaran dengan menyumbang wang tunai, Effandy lebih mengharapkan rumahnya dibina semula.
“Kami harap dapat mengumpulkan dana untuk membina rumah baru Effandy,” katanya selepas menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada keluarga daripada persatuan itu.
Effandy berkata, dia juga baru mendaftar untuk bantuan Jabatan Kebajikan dan zakat.
“Yang saya mahukan hanyalah bantuan untuk membina semula rumah saya menjelang Raya.”