
Perintah reman terhadap suspek berumur 44 tahun itu dikeluarkan majistret Nur Atikah Zakaria di Mahkamah Majistret di sini.
Suspek ialah majikan yang disyaki memukul dua pengawal peribadi itu, direman lima hari hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 506 KK (ugutan), Seksyen 298 KK (menghina Islam) dan Seksyen 307 KK kerana cubaan membunuh.
Terdahulu, suspek yang memakai baju-T berwarna biru tiba di perkarangan mahkamah sekitar 10 pagi tadi dengan diiringi polis.
Ahli perniagaan itu ditahan pada 8.20 malam Khamis lalu di sekitar Kuala Lumpur kerana terbabit dalam kejadian memukul pengawal peribadinya.
Mahkamah Majistret Klang pada Khamis mengeluarkan perintah reman kepada empat individu, termasuk seorang pengawal peribadi bagi membantu siasatan kes itu.
Tiga daripada suspek yang merupakan pekerja di sebuah syarikat milik majikan terbabit direman lima hari, manakala pengawal peribadi itu direman tujuh hari bermula 15 April lalu.
Di Shah Alam, Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, suspek akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“Saya difahamkan kita dalam proses untuk menyita harta (suspek) dan sebagainya. Setakat ini, tiada bukti suspek dan empat pekerja yang ditahan sebelum ini terlibat dalam kongsi gelap,” katanya dalam sidang media.
Dalam kes berasingan, Arjunaidi berkata, polis sedang menyiasat kes pertengkaran di sebuah restoran makanan segera di Klang kira-kira 1.30 petang semalam yang tular di media sosial.
Beliau berkata, kejadian berlaku disebabkan satu pihak (pelanggan) tidak berpuas hati dengan perkhidmatan kakitangan di restoran itu, sebelum ada individu lain merakam kejadian itu.
“Semasa pertengkaran itu, mungkin keluar perkataan menyinggung perasaan dan tidak sepatutnya,” katanya sambil menambah polis sudah memanggil saksi dan individu terlibat untuk membantu siasatan.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 KK dan Seksyen 509 KK (mengeluarkan perkataan atau menunjukkan isyarat yang bertujuan mengaibkan kehormatan seseorang).