
“Beliau perlu berhenti memainkan hujah semantik dan sebaliknya fokus terhadap angka kadar kenaikan harian Covid-19 untuk memastikan angka ini turun ke julat dua angka, jika tidak, beliau patut letak jawatan!” desak Lim dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Adham berkata, negara masih lagi mengharungi gelombang ketiga wabak dan belum memasuki gelombang keempat.
Menurut beliau, sesuatu penularan hanya dianggap gelombang seterusnya sekiranya jangkitan tempatan ketika gelombang semasa sudah mendatar atau mencatat sifar kes selama beberapa hari sebelum berlaku peningkatan kes baharu secara mendadak.
“Mengikut definisi gelombang keempat Adham, di mana perkara ini hanya boleh berlaku selepas kita mencatatkan sifar kes Covid-19, maka kita tidak akan melihat gelombang keempat langsung.
“Bolehkah Adham menyatakan berapa hari dalam tahun lepas di mana jumlah peningkatan harian kes berada pada kadar sifar?” soal Kit Siang.
Tambah beliau, kenyataan Adham itu hanya akan menimbulkan kebimbangan rakyat bahawa negara ini akan mengalami gelombang keempat wabak sebelum gelombang ketiga dapat dikawal.
Sejumlah 2,331 kes baharu Covid-19 dicatatkan semalam, hari ketiga berturut-turut jangkitan harian melepasi paras 2,000.
Kata Kit Siang, sejak lebih setahun berdepan wabak Covid-19, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mempunyai menteri kesihatan yang tidak berwibawa, dengan mengeluarkan kenyataan “air suam penawar Covid-19” dan “15 negeri di Malaysia”.
“Kini beliau telah melakukannya sekali lagi dengan mengatakan yang Malaysia tidak akan berhadapan dengan gelombang keempat wabak ini selagi mana peningkatan harian kes Covid-19 dalam negara belum mencatatkan sifar kes.
“Adakah ini jawapan terbaik Adham kepada seruan saya supaya Parlimen dipanggil bersidang semula untuk berhadapan dengan kemungkinan gelombang keempat?
“Tidak mengejutkanlah #kerajaangagal terus tular di Twitterjaya!” sindir Lim.