
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas SG Saroja, 53, serta anak perempuannya C Sathiyawathy, 31, dan memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda.
Saroja merupakan ibu saudara kepada mangsa manakala Sathiyawathy adalah sepupu kepada remaja perempuan itu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap remaja perempuan itu di kawasan lapang berhampiran Bulatan Beringin Selayang pada 11 malam, 1 Mac lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa di bahagian bahu kirinya akibat dipukul.
Peguam M Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili dua beranak itu memohon hukuman ringan kerana kejadian berlaku akibat salah faham dengan mangsa dan kedua-dua anak guamnya adalah ibu tunggal selain mereka turut menyesal atas perbuatan dilakukan.