Dah lama wujud klausa ‘bayar dulu, bincang kemudian’, Najib jawab tuduhan Guan Eng

Dah lama wujud klausa ‘bayar dulu, bincang kemudian’, Najib jawab tuduhan Guan Eng

Bekas perdana menteri itu juga mempertikaikan kefahaman Lim Guan Eng, yang pernah menjadi menteri kewangan, tentang undang-undang berkaitan cukai.

Najib Razak berkata, beliau pernah mengecam kenyataan Lim Guan Eng sebelum ini kerana impak Covid-19 jauh berbeza dengan SARS disebabkan perubahan kedudukan dan realiti ekonomi dunia.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak mempertahankan kenyataan beliau sebelum ini bahawa klausa “bayar dulu, bincang kemudian” dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 telah wujud sejak zaman Barisan Nasional (BN).

Kenyataan tersebut sebelum ini telah disanggah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang berkata klausa tersebut hanya diperkenalkan tahun lalu, dan menegaskan bahawa Najib “salah fakta dan silap dalam hal undang-undang ini”.

Menurut Najib, hakim Mahkamah Tinggi telah memaklumkan kepada beliau sedemikian pada Julai tahun lalu ketika memutuskan bahawa mahkamah tiada kuasa untuk mempertikaikan sama ada tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap beliau adalah wajar atau tidak.

“Undang-undang kata saya perlu ‘bayar dulu, bincang kemudian’. Guan Eng, adakah bulan Julai 2020 sebelum atau selepas Disember 2020?” soal Najib, mempertikaikan dakwaan Lim bahawa seksyen itu hanya diluluskan oleh Perikatan Nasional (PN) dalam Belanjawan 2021 dan diwartakan pada 31 Dis tahun lalu.

Najib juga memetik kes Mahkamah Persekutuan pada September 1980, di mana panel hakim memutuskan bahawa Seksyen 103 memberi kuasa kepada LHDN untuk meminta pembayar cukai “bayar dulu, bincang kemudian”.

Beliau juga mempertikaikan kefahaman Guan Eng, yang pernah menjadi menteri kewangan, tentang undang-undang berkaitan cukai.

“Guan Eng, apa yang kamu buat selama 22 bulan sebagai menteri yang jaga cukai pendapatan, sehingga kamu kononnya tak faham undang-undang cukai,” kata beliau.

Tambah Najib, walaupun peruntukan “bayar dulu, bincang kemudian” ini sudah lama wujud, tetapi sewaktu beliau menjadi perdana menteri, beliau tidak pernah menyalahgunakannya.

“Cuma kerajaan (BN) Barisan Nasional masa saya jadi perdana menteri, tak pernah salahgunakan kuasa ini bagi tujuan politik seperti apa yang dibuat kerajaan PH (Pakatan Harapan) masa dia menteri cukai (lalu diteruskan oleh kerajaan PN) untuk mengenakan saya,” kata beliau di Facebook.

Najib juga menegaskan penalti cukai tambahan RM1.74 bilion yang dikenakan terhadapnya awal bulan ini adalah tidak sah dan tidak wajar, kerana ia melibatkan sumbangan politik yang dikecualikan cukai dan pendapatan peribadi dari sumber luar negara yang juga dikecualikan cukai.

“Kesemua dana dalam akaun saya dibuktikan di mahkamah telah digunakan untuk kebajikan dan untuk diberi kepada parti politik yang merupakan perbelanjaan yang diberi pelepasan cukai,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.