Dasar kabotaj ‘terlalu melindungi’ beri imej buruk buat negara, kata ahli ekonomi

Dasar kabotaj ‘terlalu melindungi’ beri imej buruk buat negara, kata ahli ekonomi

Geoffrey Williams berkata halangan terhadap kapal asing menjadikan Malaysia kelihatan tidak mesra kepada pelabur.

Satu pengecualian yang membolehkan kapal asing melaksanakan aktiviti baik pulih kabel bawah laut telah dikeluarkan kerajaan baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi berkata, penghapusan pengecualian kabotaj untuk kapal asing yang melakukan pembaikan kabel dasar laut menjadikan Malaysia dilihat sebagai “tidak mesra” dalam kalangan pelabur asing.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, dasar itu akan memberikan Malaysia imej yang buruk kerana melaksanakan dasar perlindungan yang memihak kepada syarikat tempatan.

“Ini akan mempengaruhi keseluruhan persepsi pelaburan untuk Malaysia,” kata Williams.

Pengecualian kabotaj sebelum ini membolehkan kapal asing membuat kerja pembaikan di bawah laut. Namun, pada November, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menarik balik pengecualian itu bagi pembaikan kabel dasar laut.

Geoffrey Williams

Keputusan itu turut menimbulkan kritikan dengan timbalan presiden Umno Mohamad Hasan berkata, cara kerajaan menangani masalah itu boleh menyebabkan Malaysia menjadi bahan jenaka antarabangsa.

Williams menggesa kerajaan mengembalikan pengecualian tersebut. “Jika mereka (kerajaan) prihatin terhadap implikasi yang lebih luas, maka mereka seharusnya melaksanakan pengecualian sebagai kes khusus” katanya.

Beliau berkata, meskipun penting untuk setiap negara melindungi industri atau perkhidmatannya secara strategik, ia perlu dilakukan hanya pada tahap tertentu.

Ahli ekonomi politik Firdausi Suffian dari Sabah UiTM berkata dasar kabotaj adalah tidak relevan dalam ekonomi global. “Semua alat untuk melindungi adalah buruk bagi ekonomi kerana mengganggu persaingan,” katanya.

Firdausi Suffian

Ditanya mengenai dasar perlindungan lain di negara ini yang harus dikaji, Williams dan Firdaus menyuarakan kebimbangan mengenai sekatan dalam industri automotif.

“Dasar yang terlalu melindungi ini membabitkan kereta yang sudah lama tertangguh untuk dikeluarkan. Ramai rakyat Malaysia membayar lebih untuk kereta daripada apa yang sepatutnya,” kata Firdaus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.