Bekas ketua perisik dilepas tanpa bebas kes pecah amanah RM50 juta

Bekas ketua perisik dilepas tanpa bebas kes pecah amanah RM50 juta

Hakim mengeluarkan arahan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap wanita itu.

Hasanah Abdul Hamid didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM50.4 juta milik kerajaan antara 30 April hingga 9 Mei 2018.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid dilepas tanpa dibebaskan daripada kes pecah amanah berjumlah RM50 juta.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh mengeluarkan arahan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka tidak akan meneruskan pendakwaan terhadap wanita itu.

“DPP (Timbalan pendakwa raya) menyatakan tertuduh (Hasanah) akan menghadapi pertuduhan itu pada masa akan datang. Pihak pendakwaan turut menjelaskan penemuan baharu yang ditemui.

“Dalam keadaan itu, saya dapati pendakwaan memberikan alasan baik dan sah untuk menjalankan kuasanya di bawah undang-undang untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadapnya dan penemuan baharu itu yang dijelaskan DPP ialah kekangan sementara.”

Mahkamah berkata, pendakwa raya menjalankan kuasanya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadapnya.

“Tetapi, ia menjadi kewajipan mahkamah berdasarkan Seksyen 254(3) Kanun Prosedur Jenayah untuk mempertimbangkan sama ada tertuduh sepatutnya diberi perintah pelepasan tanpa pembebasan atau perintah pelepasan dan pembebasan.

“Ini ialah kuasa budi bicara kehakiman yang mesti dipertimbangkan menurut lunas undang-undang,” kata Shahrir.

Hari ini, pendengaran kes pecah amanah Hasanah berjumlah RM50 juta sepatutnya diteruskan. Setakat ini, 10 saksi sudah memberi keterangan sejak perbicaraan itu bermula 6 Okt 2020.

Hasanah didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad mengetuai pasukan pendakwaan bersama Mohd Fairuz Johari, Ahmed Farid Ahmad Kamal, Nor Diana Nor Azwa, Nur Afiqah Zakaria dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.

Hasanah pula diwakili peguam Suhaimi Ibrahim, Hamdan Hamzah, Muhammad Ashraff Mohd Diah dan Izwan Ariff Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.