
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, syarikat terlibat membabitkan tujuh di Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (empat), Selangor (empat), Perak (satu), Pulau Pinang (dua) dan Kedah (satu).
Beliau berkata, 19 syarikat itu didapati ‘berkomplot’ dengan sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku sah dari Brazil.
“Mengikut permit pengimport, syarikat ini hanya layak mengimport 27 tan daging bagi satu permit yang dikeluarkan. Hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan hanya menggunakan empat daripada lima permit pengimport yang dikeluarkan, bagi tahun 2020.
“Bagaimanapun, syarikat pengimport itu didapati telah mengedarkan lebih daripada 1,000 tan kepada 202 pelanggan, yang dibuktikan melalui invois yang dirampas.
“Siasatan juga mendapati keuntungan tahunan 19 syarikat ini adalah antara RM1 juta hingga RM52 juta,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Dalam Ops Kartel Daging, Jabatan Siasatan Jenayah turut menahan 36 individu terdiri daripada 26 lelaki dan 10 perempuan berusia antara 28 hingga 67 tahun. Daripada jumlah itu, 34 daripadanya adalah pengarah syarikat dan dua lagi pengurus syarikat.
Selain mengimport dari syarikat di Brazil, syarikat berkenaan itu juga menerima bekalan daripada syarikat tempatan, dan bekalan yang diterima dibungkus semula sebelum diedarkan kepada pelanggan.
Katanya, syarikat terbabit juga didapati menempah kotak berlogo halal untuk membungkus semula daging yang diimport dari Brazil, dan yang diterima dari syarikat tempatan bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Kita dapati syarikat ini banyak menerima tempahan, kerana menawarkan harga lebih murah berbanding syarikat pembekal daging halal lain, serta kemudahan pembayaran kredit selama tiga bulan berbanding syarikat lain yang hanya menerima pembayaran secara ‘Cash on Delivery’, menjadi faktor utama tempahan tinggi diterima syarikat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati kegiatan itu menyebabkan keraguan status halal terhadap bekalan daging yang ada di pasaran.
Huzir berkata kegiatan itu bukan sahaja memberi kesan kepada umat Islam, malah seluruh rakyat Malaysia, apabila daging yang dibungkus semula tidak dapat disahkan tahap kebersihan dan tidak diperakui oleh pihak veterinar.
Beliau berkata, polis akan meneruskan siasatan berkaitan isu kartel daging itu dan dijangka lebih ramai yang akan ditahan selepas ini.
Dalam masa sama beliau berkata, polis masih meneruskan usaha memburu dua lelaki yang dipercayai dalang utama kes berkenaan iaitu, Tan Siew Huak berasal dari Ulu Tiram, dekat sini dan Wong Ah Kheong dari Kuantan, Pahang.
Pada 1 Dis tahun lepas, satu serbuan yang dilakukan beberapa pihak berkuasa ke atas gudang sejuk beku di Senai, dekat sini, telah membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging dari luar sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.