Penahanan berpanjangan lelaki Nigeria jejas emosi anak, kata pesuruhjaya Suhakam

Penahanan berpanjangan lelaki Nigeria jejas emosi anak, kata pesuruhjaya Suhakam

Noor Aziah Mohd Awal berkata, sebarang bentuk perpisahan dengan penjaga akan memberi kesan kepada sesiapa sahaja, terutama kanak-kanak.

Simon Adavize Momoh (kanan) bersama isterinya, Low Kar Hui, dan anak-anak mereka. (Gambar Low Kar Hui)
PETALING JAYA:
Penahanan berterusan lelaki warga Nigeria Simon Adavize Momoh tanpa alasan yang sah membimbangkan, dan akan memberi impak berpanjangan kepada dua anak perempuannya, kata ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pesuruhjaya kanak-kanak, Noor Aziah Mohd Awal, berkata penahanan Momoh yang tidak dijangka itu telah memberi kesan trauma kepada anak-anaknya.

Momoh menjaga kedua-dua anaknya, Divine, 8, dan Elisha, 5, di rumah kerana visa pasangan jangka panjang yang dimilikinya tidak membenarkannya bekerja. Isteri Momoh, Low Kar Hui, adalah rakyat Malaysia.

“Anak-anak itu dijaga oleh ayah mereka selama ini, tetapi, tiba-tiba, dia tiada di rumah. Sebarang bentuk perpisahan dengan penjaga akan memberi kesan kepada sesiapa sahaja, terutamanya kanak-kanak,” kata Aziah kepada FMT.

“Kini timbul rasa takut dalam diri (anak-anak Momoh) yang ayah mereka akan dibawa pergi, atau lebih teruk lagi, dihantar pulang ke negara asalnya, dan mereka tidak dapat berjumpa lagi.

Momoh ditahan dalam sekatan jalan raya di Cheras pada awal pagi 15 Mac, kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk. Dia mengaku bersalah di mahkamah pada hari yang sama, dan selepas membayar denda RM12,000, isterinya Low diberitahu dia akan dibebaskan selepas dipenjara sehari.

Sebaliknya, warga Nigeria itu dibawa ke penjara Kajang dan kemudian dipindahkan ke pusat tahanan imigresen Semenyih. Sudah hampir sebulan dia tidak dapat berhubung dengan keluarganya.

Perbicaraan mahkamah mengenai kes itu ditangguhkan hingga Khamis depan dan Momoh dijangka akan terus ditahan sehingga tarikh itu.

Ekoran liputan media mengenai kes Momoh, Noor Aziah berkata, ada kemungkinan anak-anak Momoh dibuli di sekolah.

Aziah menyeru agar Momoh dibebaskan segera, dengan berkata, tiada alasan untuk menahannya bagi tempoh lebih lama kerana dia telah mengakui kesalahannya, membayar denda, dan menjalani hukuman.

“Kerajaan perlu menjelaskan mengapa Momoh ditahan lebih lama atau mereka boleh disaman atas penahanan tidak sah. Mengapa buat begini kepada anak-anak (Momoh), dan kepada suami seorang rakyat Malaysia?” soal Aziah, sambil menambah, visa Momoh belum pun tamat tempoh.

Kes Momoh menunjukkan bahawa Jabatan Imigresen perlu mengkaji semula dasar dan prosedur operasi standardnya berkenaan visa pasangan asing, menurut Aziah.

Selain itu, kata beliau, peraturan yang melarang pasangan asing bekerja juga perlu dikaji semula kerana ia bersifat diskriminasi.

“Kerajaan sering menyebut masalah keselamatan (ketika memproses permohonan visa), tetapi mereka gagal melihat bahawa jika seorang suami warga asing dapat bekerja di Malaysia, beliau akan menyumbang kepada ekonomi negara, selain mencari nafkah untuk keluarganya,” kata Aziah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.