
Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berkata ketika ini pegawai kaunselor ditempatkan di bawah agensi berbeza seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri, menyebabkan fungsi mereka terhad.

“Pulai mencadangkan kaunselor ini dinaik taraf sebagai satu jabatan yang menyelaras semua kaunselor di setiap kementerian.
“Dengan cara ini, mereka dapat membantu mengurus isu kesihatan mental di semua peringkat termasuk golongan dewasa dan kanak-kanak,” katanya membahaskan laporan keselamatan digital dan kesihatan mental kanak-kanak di Dewan Rakyat.
Menurutnya, penubuhan jabatan itu juga penting bagi menambah jumlah kaunselor kerana kapasiti sedia ada jauh lebih rendah berbanding jumlah rakyat yang mengalami masalah kesihatan mental.
“Seorang daripada tiga rakyat berdepan masalah kesihatan mental. Di JKM hanya ada 194 kaunselor manakala KKM ada 346.
“Jadi hanya 540 kaunselor untuk menangani masalah melibatkan 10 juta rakyat. Ini tidak munasabah dan perlu diselesaikan segera,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) menyarankan kerajaan melalui KPM mengkaji semula silibus pendidikan berkaitan kesihatan mental di sekolah agar ia lebih menyeluruh dan berkesan.
Beliau berkata peranan guru kaunselor juga wajar diperkasakan, termasuk memberi mereka kemahiran membuat saringan status kesihatan mental pelajar.