
Muhammad Shafee Abdullah memberitahu wartawan, pasukan perundangannya sudah dimaklumkan mengenai penyerahan notis muflis itu minggu lalu.
“Secara kebetulan, kami diberitahu mengenai hal ini dua hari selepas Perhimpunan Agung Umno, yang mana mereka mengeluarkan resolusi untuk memutuskan hubungan dengan PPBM.
“(Notis muflis) ini adalah penyalahgunaan proses dan intimidasi yang jelas. Sekiranya bukan pihak berkuasa yang melakukannya, ia menjadi tindakan jenayah.
“Sangat jelas, ada pihak tertentu berusaha menyingkirkannya (Najib) daripada sebarang proses pemilihan dan memegang jawatan dalam parti,” katanya, mengulas notis muflis yang difailkan pada 4 Feb.
Kerajaan, melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan notis muflis kepada Najib, kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion bagi tahun 2011 hingga 2017.
LHDN berkata, Najib perlu membayar tunggakan cukai berserta faedah tahunan 5%, berjumlah RM45.9 juta, bermula dari tarikh penghakiman, serta kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.
Shafee menambah, pasukannya akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan notis muflis, dan menangguhkan prosiding muflis yang ingin dimulakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Kami turut memohon penangguhan terhadap perintah penghakiman terus membabitkan cukai bernilai RM1.69 bilion,” katanya, sambil menambah Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan untuk menangguhkan penghakiman terus itu pada 11 Jun.
Pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengizinkan kerajaan untuk meneruskan penghakiman terus bagi mendapatkan kembali tunggakan cukai tambahan daripada Najib.
LHDN berpendapat, penghakiman terus tidak ditangguhkan memandangkan mahkamah sudah memberikan keputusannya.
Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache, ketika membenarkan penghakiman terus itu memutuskan, oleh kerana notis taksiran telah disampaikan kepada Najib menurut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967, cukai yang harus dibayar bawah taksiran tambahan tersebut wajib dibayar kepada LHDN.
Selain Najib, anak-anaknya, Mohd Nazifuddin dan Mohd Nizar turut diberikan notis oleh LHDN untuk menjelaskan cukai pendapatan mereka.
Mereka juga sedang membuat rayuan terhadap penghakiman terus yang diperoleh LHDN.