Murid tahun 1 berdarah bibir dilempang cikgu hilang sabar

Murid tahun 1 berdarah bibir dilempang cikgu hilang sabar

Guru lelaki dikatakan hilang sabar kerana kanak-kanak berusia tujuh tahun itu menangis tanpa henti.

Ibu mangsa kecewa apabila mendapat tahu guru itu bertindak sedemikian kerana hilang sabar dengan anak lelakinya yang menangis tanpa henti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang guru sekolah agama dipercayai menampar murid tahun satu sehingga bibir kanak-kanak itu bengkak dan berdarah dalam kejadian di Kulai, Johor.

Ibu mangsa kecewa apabila mendapat tahu guru itu bertindak sedemikian kerana hilang sabar dengan anak lelakinya yang menangis tanpa henti.

“Bila saya ambil dia balik dari sekolah dan dia buka pelitup muka, saya nampak ada darah dan mulutnya bengkak. Bila diperiksa, ada lebam darah beku dalam mulut dengan pipi bengkak sebelah.

“Petang itu saya membawanya ke klinik untuk mendapatkan ubat bagi kebaskan mulut yang bengkak agar dia boleh makan seperti biasa,” kata ibu mangsa, menurut laporan Kosmo.

Wanita itu berkata, guru lelaki berkenaan mengaku menampar anaknya, namun apa yang lebih mengecewakan apabila guru besar juga seolah-olah mengambil mudah isu itu.

“Saya kecewa dengan jawapan diberikan guru besar sekolah berkenaan yang hanya berkata ‘benda dah jadi’.

“Bagi saya, guru besar sebagai seorang pemimpin perlu lebih profesional dengan memberi janji bahawa perkara seperti itu tidak akan berulang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.