
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, kelas yang memuatkan sehingga 45 murid adalah tidak sesuai untuk kanak-kanak berusia enam tahun.
“Ini mungkin lebih sesuai untuk murid-murid yang lebih besar, tetapi untuk yang berusia enam tahun, (kelas dengan 45 murid) terlalu sesak untuk pembelajaran yang berkesan,” katanya kepada FMT.
“Wujud risiko kita luaskan akses pada kadar yang terlalu cepat sehingga gagal pelihara kualiti. Pendidikan awal ialah asas. Jika standard merosot pada peringkat ini, kesannya akan berlarutan bertahun-tahun.”
Minggu lepas, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, negeri itu akan menyelaraskan sistem pendidikannya dengan cadangan persekutuan bagi membolehkan ibu bapa mendaftarkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu.
Sejajar dengan jangkaan peningkatan jumlah murid Tahun Satu kepada 80,000 orang, beliau berkata, terdapat kemungkinan setiap kelas akan mempunyai sehingga 45 murid.
Azimah juga berkata, sistem persekolahan tiga sesi, dengan waktu pembelajaran yang lebih singkat namun terpecah-pecah, akan menghalang pembelajaran secara mendalam dan mengehadkan akses kanak-kanak kepada fasiliti sekolah.
“Murid dalam sesi yang lewat dan guru yang bekerja lebih masa terutamanya akan lebih letih sekaligus jejaskan tumpuan serta kualiti pengajaran.
“Kita khuatir dengan keselamatan juga, apabila kanak-kanak pulang lewat, mengganggu waktu rehat dan pantauan ke atas mereka,” katanya.
Di Melaka, sebuah lagi kumpulan ibu bapa turut menyuarakan kebimbangan yang sama.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin mempersoalkan kebolehlaksanaan pembaharuan tersebut, menyifatkannya seolah-olah dilakukan secara tergesa-gesa.
“Sesetengah bilik darjah bahkan tidak mampu memuatkan jumlah murid seramai itu, dan kita tidak boleh harap mereka duduk diam sepanjang masa,” katanya.
“Sokongan tambahan, seperti pembantu pengajar, amat penting. Bagaimana seorang guru hendak uruskan 45 orang murid berusia enam tahun?”
Mak juga membangkitkan persoalan mengenai cara sistem tiga sesi itu akan dilaksanakan, termasuk sama ada waktu persekolahan akan bermula lebih awal atau berlanjutan hingga ke petang.
Berbeza dengan pembaharuan yang dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), pakar pendidikan sebelum ini telah menggesa agar saiz kelas dikecilkan.
Pada Mei tahun lepas, Anuar Ahmad daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencadangkan pendaftaran kelas dihadkan kepada 25 orang bagi memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Pada November 2025, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pembaharuan itu akan merangkumi modul ‘pengajaran bersama’, di mana dua guru bekerjasama dalam satu bilik darjah.