
Ruslinah Mohamad Kaseh, 56, menukar pengakuan kepada bersalah atas dua daripada empat pertuduhan pilihan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Dua lagi pertuduhan pilihan iaitu pertuduhan pertama dan ketiga diambil kira sebagai pertimbangan (TIC) selaras peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, Ruslinah ketika itu merupakan guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP (Felda) Bukit Kuantan didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, termasuk invois atas nama sebuah syarikat bagi tuntutan projek keceriaan sekolah berjumlah RM4,126.
Tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut adalah palsu memandangkan pembekalan bagi projek berkenaan tidak pernah dilaksanakan.
Kesalahan itu dilakukan di sekolah itu pada 9 Dis 2022 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam prosiding itu, peguam tertuduh, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman, memohon hukuman ringan memandangkan anak guamnya mempunyai rekod perkhidmatan baik dan bakal bersara tahun hadapan.
Beliau berhujah, tertuduh menanggung empat anak berusia antara 16 hingga 28 tahun yang mana tiga daripadanya masih belajar, selain perlu menjaga ibu berusia 79 tahun yang menghidap penyakit kronik.
“Anak guam saya turut menanggung adik ipar yang menghidap Sindrom Down dengan perbelanjaan bulanan RM300.
“Suami tertuduh juga seorang guru kini hanya menerima separuh gaji susulan sabitan kes jenayah lain yang kini masih dalam proses rayuan,” katanya.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ab Azim Ismail.