
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, berkata pemulihan itu menunjukkan trend menaik tiga bulan berturut-turut, sekali gus memberi petunjuk ekonomi semakin pulih.
“Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja di sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya aktiviti perdagangan borong dan runcit; pendidikan dan kesihatan, kemanusiaan dan kerja sosial, manakala dalam industri berkaitan pelancongan, ia kekal dalam trend menurun.
“Selain itu, bilangan penduduk bekerja di sektor pembuatan dan pembinaan kekal positif, manakala sektor pertanian dan perlombongan serta pengkuarian merekodkan pengurangan,” katanya dalam kenyataan.

Kadar pengangguran pada Februari juga turun 0.6% atau 5,000 orang kepada 4.8% atau 777,500 orang berbanding 4.9% atau 782,500 orang pada Januari.
Uzir berkata, dengan bilangan penduduk bekerja terus meningkat manakala bilangan penganggur menurun, tenaga buruh meningkat sedikit 0.2% bulan ke bulan kepada 16.05 juta orang berbanding 16.02 juta pada Januari.
Sementara itu, katanya, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Februari 2021 kekal pada 68.5%.
Merumuskan keseluruhan situasi tenaga buruh, beliau berkata walaupun pelanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan antara negeri berterusan, keadaan beransur pulih sejak awal Mac 2021.
“Selain itu, sektor pendidikan pra-sekolah dan sekolah rendah mula dibuka semula secara berperingkat yang memberi manfaat kepada aktiviti berkaitan sekolah, terutamanya perkhidmatan bas sekolah, kantin serta kedai alat tulis dan buku.
“Keadaan ini dan ditambah pula dengan pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi sejak Februari lalu akan menggalakkan lebih banyak permintaan dalam ekonomi dan seterusnya akan memberikan impak positif terhadap pasaran buruh,” katanya.
Dengan pemulihan ekonomi yang berterusan, Uzir menjangkakan permintaan buruh akan terus meningkat secara marginal dan penawaran buruh kekal kompetitif.