Peguam mengaku tak salah ubah wang haram lebih RM6.5 juta

Peguam mengaku tak salah ubah wang haram lebih RM6.5 juta

M Pathmarajah, 65, berdepan 9 pertuduhan pengubahan wang haram.

Pathmarajah dibenarkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan atas sembilan pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM6.5 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, bermula 2017 lalu.

Bagaimanapun, M Pathmarajah, 65, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Sabariah Othman dan Kamarudin Kamsun.

Di hadapan Sabariah, Pathmarajah, sebagai rakan kongsi di firma guaman Tetuan Mazwan Pathma & Co., didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang RM3,735,200; RM640,070 dan RM2,161,330, melalui cek daripada Tan Bee Kim & Partners hasil aktiviti haram ke dalam akaun semasa Malayan Banking Berhad dan Public Bank Berhad milik firma guaman tersebut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Maarof, Bangsar Baru, antara 8 Ogos 2017 hingga 12 Feb 2018.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, dia didakwa memindahkan wang RM608,370, hasil aktiviti haram daripada akaun semasa Malayan Banking milik Tetuan Mazwan Pathma ke dalam akaun simpanan tetap bank sama milik firma guaman sama selain didakwa menggunakan wang RM1,080,000 serta wang RM2 juta daripada akaun semasa Malayan Banking menerusi dua keping cek kepada dua buah syarikat iaitu Mitz Luniques Sdn Bhd dan Emizen Line Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking di Jalan Maarof, Bangsar Baru, antara 12 Feb 2018 dan 16 April 2018.

Di hadapan Kamarudin, tertuduh juga didakwa atas tiga lagi pertuduhan memindahkan RM22,000; RM1,594,757 dan RM1,538,484, hasil aktiviti haram daripada dua akaun semasa Public Bank dan Malayan Banking milik firma guaman sama ke dalam dua akaun semasa Malayan Banking dan satu akaun semasa Public Bank milik firma itu pada tempat sama antara 16 Ogos 2017 hingga 21 Mac 2018.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pathmarajah dibenarkan diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta 4 Mei ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Lee Keng Fat manakala tertuduh diwakili peguam Vignesh Kumar dan Daniel Annamalai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.