
Katanya, kegagalan veteran itu mendaftarkan diri menyukarkan ATM menghulurkan bantuan yang diperuntukkan kepada mereka.
“Justeru, saya minta persatuan veteran yang berada di setiap daerah mendapatkan golongan ini. Kita nak tahu mereka masih ada atau sebaliknya. Setiap kali bantuan nak diberi itu masalahnya kerana mereka tidak daftar dan kita tidak boleh nak sampaikan.
“Saya harap mereka ini daftar segera, antara faktor tidak mendaftar mungkin sebab duduk di luar bandar dan sebagainya, kami tidak ada maklumat mereka,” katanya selepas menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia kepada 295 veteran ATM Pahang.
Ismail berkata, Kementerian Pertahanan turut memperuntukkan 30% kuota 30 peratus kepada anak, termasuk cucu veteran ATM untuk belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ATM Bera, dekat sini, dengan permohonan dibuka sekarang.
Rentas negeri
Ismail yang juga menteri pertahanan berkata, keputusan rentas negeri menjelang Aidilfitri belum diputuskan dan segala keputusan bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan yang melakukan kajian terhadap kebolehjangkitan.
“Tunggu dulu, kita akan bincang lagi kerana kes di beberapa negeri diisytihar kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) masih tidak banyak berubah, antaranya Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang. Jika KKM kata stabil dan boleh rentas, kebenaran akan diberikan.
“Sama juga mengenai cadangan yang membolehkan penerima dua dos vaksin boleh rentas negeri, kita belum putuskan dan akan bincang.”
Muafakat Nasional
Mengenai kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang dilaporkan media seolah-olah memberi bayangan akan meninggalkan Muafakat Nasional, Ismail yang juga naib presiden Umno berkata, segala isu mengenai kedua-dua parti itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MN.
“Kita akan bincang pelbagai isu melalui mesyuarat yang diadakan dua minggu sekali, lepas itu boleh buat kenyataan. Kadang-kadang kita pun tidak tahu mungkin beliau cakap lain, tapi dalam segi penulisan berbeza dengan apa dikatakan.”
Media melaporkan Hadi memberi bayangan akan meninggalkan MN kerana mendakwa ia menyeleweng daripada matlamat asas dan meminta semua parti menyertai Perikatan Nasional.
Terdahulu, Ismail dalam ucapannya berkata, setakat ini, seramai 28,971 warga veteran menerima Pingat Jasa Malaysia, manakala veteran yang layak dan belum lagi dianugerahkan akan dijadualkan menerimanya pada masa akan datang.