
Presiden Umno itu berkata, parti berkenaan sentiasa mendengar pandangan akar umbi, termasuk suara pihak yang menggesa supaya Umno meninggalkan kerajaan.
“Namun jangan bertindak sebagai pencetus provokasi. Keputusan yang kami buat untuk bersama membentuk kerajaan perpaduan bukanlah mudah, tetapi ia dibuat dengan meletakkan kepentingan negara di hadapan.
“Umno kekal berpegang pada prinsipnya. Jangan mencurahkan minyak ke dalam api yang sedang marak. Kesabaran Umno ada batasnya. Jangan uji kami.
“Kami mendengar suara Pemuda, Wanita dan Puteri. Jadi jangan cuba mengganggu-gugat kami,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025.
Zahid bagaimanapun tidak menunjukkan kenyataannya itu kepada mana-mana pihak secara khusus.
Awal bulan ini, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggesa parti itu keluar daripada kerajaan perpaduan, namun Zahid menegaskan Umno akan terus menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.
Akmal akur dengan keputusan tersebut tetapi mengumumkan peletakan jawatan sebagai exco Melaka bagi membolehkannya mengkritik secara terbuka dan ‘menentang DAP’.
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden menyambut baik langkah Akmal dan menyatakan kesediaannya untuk bersama-sama Ketua Pemuda Umno menentang DAP.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, sebelum ini turut menggesa Umno meninggalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan bagi menghidupkan semula pakatan Muafakat Nasional (PN).
Tawaran bentuk kerajaan baharu
Zahid turut mendedahkan Umno ada menerima tawaran supaya meninggalkan kerajaan sedia ada bagi membentuk pentadbiran baharu.
Bagaimanapun, katanya, Umno memilih untuk terus menyokong kerajaan perpaduan kerana bersikap ikhlas sebagai rakan dalam pentadbiran.
Beliau turut mengingatkan agar kesabaran Umno tidak disalah tafsir sebagai kelemahan.
“Jika ada bisikan yang cuba menggugat kesetiaan kami, jika kesabaran kami dianggap sebagai kelemahan, perbuatan sedemikian ibarat menambah minyak ke dalam api.”