Perpaduan umat tidak relevan pada masa ini, kata pemimpin Umno

Perpaduan umat tidak relevan pada masa ini, kata pemimpin Umno

Abdul Rahman Dahlan berkata, perpaduan umat harus menjadi fokus hanya selepas pilihan raya umum akan datang.

Abdul Rahman Dahlan mencabar PPBM supaya menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Umno sebagai parti yang mempunyai paling banyak kerusi sekiranya ia mememntingkan perpaduan umat.
PETALING JAYA:
Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno (MT) berkata, cakap-cakap mengenai perpaduan umat Islam tidak relevan pada masa ini dengan menambah bahawa ia harus menjadi fokus hanya selepas pilihan raya umum akan datang.

Abdul Rahman Dahlan berkata, ini tidak bermakna Umno mengetepikan perkara ini, sebaliknya kerana terdapat isu lain yang perlu diberikan perhatian, misalnya kestabilan politik.

“Apabila kita bercakap tentang perpaduan umat, bagi saya, ia tidak begitu relevan dalam konteks sekarang.

“Apabila kita menang dalam pilihan raya umum akan datang (PRU15), Umno akan menjadi parti teras yang membentuk kerajaan dan agenda utama kami ialah perpaduan umat Islam,” katanya pada satu forum malam tadi.

Rahman membuat komentar itu susulan gesaan PAS supaya parti orang Islam-Melayu bersatu selepas Umno memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15.

Bekas menteri pusat itu seterusnya mencabar PPBM supaya menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Umno jika ia benar-benar prihatin terhadap perpaduan umat.

“Mereka perlu mengiktiraf kedudukan Umno sebagai parti dengan jumlah Ahli Parlimen paling ramai.

“Jika (PPBM) benar-benar mahukan perpaduan umat Islam, apalah salahnya mereka membuat pengorbanan itu? Tetapi adakah PPBM bersedia menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Umno?” katanya.

Berhubung keputusan Umno untuk menamatkan kerjasama dengan PPBM, Rahman berkata, PPBM sepatutnya berasa lega, terutama dari segi pengagihan kerusi.

Beliau berkata, PPBM kini boleh bertanding di semua 222 kerusi Parlimen, termasuk kerusi yang menyaksikan penyandangnya, yang sebelum ini bertanding atas tiket Umno, melompat parti ke PPBM.

“Pada pandangan saya, tidak perlu pening kepala dalam hal ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.